Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sementara adat masyarakat India menuntut upacara pengebumian sempurna bagi mereka yang meninggal dunia, rekod rumah mayat di negara ini menunjukkan banyak daripada mayat yang tidak dituntut adalah daripada masyarakat itu.

Selain daripada mayat yatim piatu atau identiti mereka yang tidak dapat dicam, ramai daripada waris berasa segan untuk menuntut mayat anggota keluarga terdekat sekiranya punca kematian adalah kerana pembunuhan, bunuh diri dan kemalangan.

Ada antara mayat yang tidak dituntut itu melibatkan warga asing keturunan India yang bekerja di negara ini. Mayat mereka tidak dapat dihantar balik disebabkan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap ataupun keluarga si mati sukar dihubungi.

Alasan tidak mahu menuntut mayat adalah pelbagai daripada rasa malu, konflik keluarga sehinggakan faktor kos untuk menguruskan mayat.

Bagaimanapun, kini sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Kebajikan Khairat Pengebumian Kaum India Selangor ataupun KHAIS turun padang membantu dengan menawarkan khidmat menguruskan mayat orang India yang tidak dituntut.

Menurut Pengerusi KHAIS, D Dhatchinamoorthy mayat bukan Islam yang tidak dituntut di rumah mayat hospital selama berminggu-minggu ataupun berbulan-bulan perlu diuruskan dengan kadar segera.

Ini penting bagi membantu mengoptimumkan pengurusan kos yang ditanggung oleh hospital selain mengurangkan kesesakan di tempat simpanan mayat.

"Menyedari hakikat ini, pihak kami menubuhkan KHAIS hampir empat bulan lepas untuk menguruskan mayat orang India yang tidak dituntut.

"Segala proses untuk menguruskan mayat bermula dari masa dituntut sehinggalah ke proses pengebumian kami akan tanggung dengan sumbangan hasil derma yang diberikan oleh orang awam kepada NGO kami," katanya dalam temubual eksklusif bersama Bernama di Klang baru-baru ini.

Menurut portal MyHEALTH , portal yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk umum, sekiranya mayat tidak dituntut selepas tiga hari daripada tarikh penerimaan mayat ia diklasifikasikan sebagai mayat tidak dituntut.

Gali semula

Bagi jenazah beragama Islam ia akan terus disimpan sekurang-kurangnya tiga hari sementara menunggu hasil daripada usaha pengesanan waris yang telah dilakukan.

Manakala bagi jenazah bukan Islam, ia akan terus disimpan sekurang-kurangnya 14 hari sementara menunggu jawapan daripada usaha pengesanan waris yang dilakukan.

Sekiranya tiada waris yang datang menuntut dalam tempoh masa itu, salinan Permit Mengubur dibuat dan kelulusan untuk pengurusan terakhir mayat diperoleh daripada pegawai penyiasat polis atau majistret.

Dhatchinamoorthy berkata sekurang-kurangnya tiga hari diperlukan bagi menguruskan satu mayat daripada proses menuntut hinggalah upacara keagamaan pengebumian.

"KHAIS buat masa ini, hanya membantu hospital menguruskan mayat yang tidak dituntut dengan mengebumikannya dan bukan membakarnya atas sebab tertentu yang mungkin memerlukan mayat itu digali semula," katanya.

Beliau berkata KHAIS merupakan NGO pertama yang ditubuhkan di negara ini bagi tujuan menguruskan mayat tidak dituntut dengan kekuatan seramai 20 sukarelawan. Ia bekerjasama dengan 11 hospital kerajaan di Selangor termasuk di Banting dan Klang.

"Kami juga dalam proses perbincangan dengan semua hospital awam di Selangor bagi tujuan menguruskan mayat tidak dituntut," katanya.

Dhatchinamoorthy berkata selain menguruskan mayat yang tidak dituntut, pihaknya turut menguruskan anggota badan terbiar ataupun yang tidak dituntut waris.

Banyak anggota badan pesakit bukan Islam seperti kaki yang dipotong akibat penyakit kencing manis dibiarkan begitu sahaja di hospital kerajaan tanpa ada waris tampil membuat tuntutan.

Beliau memberi contoh banyak anggota badan yang terputus akibat kemalangan selain kaki dan jari yang dipotong akibat penyakit diabetes masih tidak dituntut di Hospital Sungai Buloh.

Mati dibunuh

Dalam percubaan pertamanya, KHAIS menguruskan hampir 30 anggota badan terbiar di Tanah Perkuburan Hindu Sungai Buloh dan 30 lagi masih tidak dapat diuruskan kerana kekangan kewangan.

KHAIS menggesa kerajaan supaya memandang serius masalah ini dan menyediakan peruntukan khas untuk menguruskan mayat mangsa kemalangan maut ataupun mati dibunuh yang terpaksa disimpan di rumah mayat bagi tempoh terlalu lama.

Beliau berkata pihaknya membelanjakan hampir RM2,000 bagi setiap urusan pengebumian mayat tidak dituntut dengan bantuan sumbangan daripada orang ramai.

"KHAIS sedang melakukan kerja mulia menguruskan mayat dan justeru, kami mahu kerajaan menunjukkan sedikit keprihatinan dengan memberikan peruntukan khas kepada kami," katanya.

Bagi mereka yang ingin memberikan sumbangan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 10104-41-00010411-1.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari Facebook KHAIS di Khairat Pengebumian India Selangor ataupun menghubungi Dhatchinamoorthy di talian 0177646933/0126700762.

- Bernama

Lihat Komen
ADS