Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahfuz: Ubah suai bajet ringan beban rakyat atau kerajaan?
Diterbitkan:  Jan 20, 2016 11:21 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan apakah pengubahsuaian Bajet 2016 akan dapat meringankan beban rakyat atau semata-mata meringankan beban kerajaan dan pemimpin negara.

"Apa yang dapat dilihat pengubahsuaian ini akan lebih menyelesaikan beban kerajaan untuk menampung kekurangan pendapatan negara.

"Semakan bajet ini juga akan meringankan beban sakit kepala PM Najib dan anggota 'kabinet dapur' daripada menanggung beban berfikir untuk mencari sumber pendapatan bagi menguruskan negara," katanya pada kenyataan media hari ini.

Menurut Mahfuz, jika kerajaan sendiri menghadapi masalah mengurus negara kerana kurang pendapatan, rakyat pastinya lebih bermasalah kerana kekurangan pendapatan boleh guna akibat kenaikan kos sara hidup yang tinggi.

"Bayangkan bagaimana pekebun kecil dan penoreh getah dengan bergantung pendapatan pada harga getah RM1.80 satu kilogram dan pesawah padi bergantung pendapatan pada harga padi bersama subsidi RM1.50 sekilogram.

"Sedangkan harga beras RM2.20 sekilogram dan ikan kembung RM14.00 sekilogram. Pengubahsuaian bajet 2016 tidak bermakna kalau poket rakyat tak ada wang," ujarnya.

Sehubungan itu beliau sekali lagi mengulangi cadangan supaya jumlah anggota kabinet perdana menteri dikurangkan daripada 35 kepada 15 hingga 19 orang sahaja. Manakala jawatan penasihat dan Duta khas PM yang bertaraf Menteri dimansuhkan.

Selain Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikurangkan sebanyak 3 atau 4 peratus, Mahfuz turut menggesa harga minyak diturunkan berikutan harga minyak mentah dunia yang berada pada harga USD28 satu tong.

"Kerajaan juga sewajarnya mempertimbangkan pengurangan 2 peratus caruman pekerja dalam KWSP sehingga keadaan ekonomi pulih, serta mempertimbangkan pengurangan 2 peratus cukai pendapatan individu.

"Ini membolehkan lebihan wang dalam poket pekerja untuk menguruskan kehidupan rakyat yang sempit dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi," katanya.

Lihat Komen
ADS