Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Portal pro Najib spekulasi 3 Ahmad ganti Mukhriz
Diterbitkan:  Jan 20, 2016 5:59 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Sebuah portal yang menyokong kuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat spekulasi mengenai calon baru menteri besar Kedah kurang sejam selepas pemimpin Umno secara terbuka mengumumkan pemberontakan mereka terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mykmu.net berkata ketiga-tiga calon itu adalah ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; ADUN Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin dan ADUN Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Zapar.

Menurut portal itu, Mukhriz mungkin dalam perjalanan keluar pada Ahad ini dan bakal digantikan oleh salah satu daripada ketiga-tiga mereka.

Awal hari ini, Ahmad Bashah, yang juga adalah timbalan pengerusi Umno Kedah mengetuai beberapa pemimpin Umno dan wakil rakyat dalam mengumumkan pemberontakan terbuka mereka terhadap Mukhriz dan menggesa Najib untuk menggantikan menteri besar itu.

Menurut portal itu, Ahmad Lebai Sudin diketahui rapat dengan Najib dan antara terkehadapan mengkritik pentadbiran Mukhriz.

Ahmad Zaini pula dikatakan mempunyai pengaruh dalam gerakan belia sebelum ini mungkin calon “dark horse” yang dilihat boleh menyatukan kem Najib dan Mahathir di Kedah.

Bagaimanapun, Mykmu berkata calon popular masih adalah Ahmad Bashah yang juga adalah pengarah pilihan raya umum BN Kedah pada 2013.

“Ahmad Bashah antara disebut sebagai bakal menteri besar sebelum pilihan raya umum lalu.

“Namun menjelang kempen pilihan raya umum lalu, Najib dan Tun Mahathir Mohamad mengumumkan Mukhriz sebagai calon menteri besar.

“Apabila BN menawan semula Kedah, Mukhriz dilantik sebagai menteri besar sebagai memenuhi janji pilihan raya,” kata portal itu.

Mykmu juga mendakwa bahawa pertukaran menteri besar dijangka menerima perkenan Istana Kedah dengan baik dan tertib.

Mukhriz yang menjadi sasaran berikutan percubaan terbuka bapanya, Mahathir yang mahu menumbangkan Najib sebagai perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu telah menuduh Najib dengan pelbagai salah laku dan berikrar tidak akan berputus asa sehingga berjaya.

Lihat Komen
ADS