Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya jadi MB kerana mandat rakyat'
Diterbitkan:  Jan 20, 2016 9:31 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah adalah hasil daripada mandat diberi rakyat serta diperkenankan sultan negeri itu selepas dicadangkan perdana menteri.

Justeru, katanya, beliau memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaik mungkin "demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat".

"Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya," katanya dalam kenyataan ringkas dikeluarkan malam ini.

Mukhriz yang juga Adun Ayer Hitam berkata demikian sebagai reaksi kepada tuntutan pemimpin kanan Umno Kedah yang menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadapnya.

Mereka menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan dengan menggantikan Mukhriz dengan tokoh lain sebagai menteri besar.

Selain berkhidmat sebagai menteri besar, anak Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.

Gesaan siang tadi dibuat timbalannya sendiri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Pegang amanah berkhidmat

Dr Mahathir adalah salah seorang pengkritik tegar Najib yang juga Presiden Umno.

Pada masa sama Mukhriz dilihat sependapat dengan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipecat Najib pada tahun lalu.

Menurut Mukhriz beliau mendengar kenyataan dikeluarkan "sebahagian daripada kepimpinan UMNO negeri diketuai Ahmad Bashah" di Alor Setar petang tadi.

Mengenai alasan dikemukakan Ahmad Bashah bagi mewajarkan desakan mereka supaya Mukhriz digantikan, beliau berkata, rakyat berhak menilai prestasi dan keberkesanan tugas dijalankannya bersama kepimpinan parti seluruh negeri sejak hari pertama BN kembali mentadbir Kedah selepas pilihan raya umum ke-13.

"Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, saya memegang amanah untuk berkhidmat dengan sebaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

"Rakyat dan pengundi jua yang akan menilai kemampuan pentadbiran saya," katanya.

Lihat Komen
ADS