Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Firma ditubuh sebulan sebelum pemindahan RM27j ke akaun PM

Syarikat yang menyalurkan RM27 juta ke akaun AmBank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, ditubuhkan hanya sebulan sebelum membuat transaksi tersebut.

Carta aliran yang menerangkan jejak wang dari SRC International ke akaun itu, menunjukkan bahawa Permai Binaraya Sdn Bhd membuat pemindahan ke akaun AmPrivate 1MY (880) pada 8 Julai 2014.

Carta itu ditunjukkan kepada media ketika sidang akhbar di mana Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku pada hari Selasa lalu.

Pemindahan wang tersebut dibuat kira-kira sebulan selepas Permai Binaraya ditubuhkan, dan ini berdasarkan semakan Malaysiakini dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut rekod SSM, Permai Binaraya ditubuhkan pada 6 Jun 2014 dan mempunyai modal berbayar sebanyak RM400,000.

Pengarah Permai Binaraya termasuk Datuk Mohd Shukri Dahlan, yang bersara sebagai ketua polis Selangor pada tahun 2014, demikian menurut rekod SSM.

Juga menjadi pengarahnya ialah Rosman Abdullah, pengarah urusan firma pembangunan hartanah yang tersenarai, Putrajaya Perdana Bhd, yang merupakan syarikat induk Permai Binaraya.

Putrajaya Perdana sebelum ini diambil alih oleh Utama Banking Group (UBG) Bhd - sebuah firma di mana ahli perniagaan Jho Low mengambil alihnya pada 2010 didakwa dengan wang 1MBD, tetapi ini telah dinafikan oleh 1MDB.

Firma pembinaan itu memainkan peranan penting dalam kes Najib-SRC International kerana tiga daripada anak syarikatnya didakwa terlibat dalam penyaluran wang ke akaun AmBank itu.

Dua lagi ialah Putra Perdana Development Sdn Bhd dan Putra Perdana Construction Sdn Bhd.

Malaysiakini telah menghubungi Putrajaya Perdana dan sedang menunggu respons darinya. [Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS