Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti gesa elak seruan pembentukan negara Islam
Diterbitkan:  Feb 4, 2016 7:31 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mahu umat Islam yang minoriti mengelakkan diri daripada membuat seruan kepada pembentukan negara Islam atau undang-undang Islam yang bersifat penguasaan ke atas pihak lain.

Malah, beliau juga berkata, seruan kepada pelaksanaan undang-undang Islam yang bersifat kontekstual dan mempunyai pra-syarat seperti potong tangan, rejam perlu dihentikan terlebih dahulu.

Jelasnya apa yang lebih penting pada masa ini adalah supaya umat Islam memberi tumpuan membangunkan kekuatan ummah di sudut penghayatan agama dan imej Islam yang baik.

"Umat Islam khususnya mereka yang minoriti hendaklah mengelakkan dari menyeru kepada pembentukan negara Islam, ataupun undang-undang Islam yang bersifat penguasaan ke atas pihak yang lain.

"Untuk seluruh umat Islam, bahawa seruan kepada perlaksanaan undang-undang Islam yang bersifat kontekstual dan mempunyai pra-syarat yang tidak dapat diwujudkan oleh umat Islam dalam suasana hari ini seperti potong tangan, rejam hendaklah dihentikan terlebih dahulu.

"Fokus umat Islam masa kini ialah membangunkan kekuatan umat di sudut penghayatan agama dan imej Islam yang baik," katanya dalam satu kenyataan media.

Mohd Asri berkata demikian sebagai rumusan selepas menghadiri sebuah program bersama masyarakat Islam di Thailand.

Bulan lalu, serangan bom di Jakarta mencetuskan kebimbangan baru mengenai kemungkinan serangan pengganas yang mempunyai kaitan dengan rangkaian IS di Syria.

Susulan itu, Malaysia dan Indonesia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga yang tinggi dan beberapa siri tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa kedua-dua negara ke atas individu yang mempunyai kaitan rangkaian IS serantau.

Mengulas lanjut, mufti itu berkata, untuk mempromosi Islam dengan lebih berkesan, tumpuan kepada nilai-nilai mulia dan peradaban yang tinggi yang diajar Islam perlu dilakukan.

"Promosi Islam hendaklah dilakukan dengan berkesan di setiap peringkat dengan memberikan tumpuan kepada nilai-nilai mulia dan beradaban yang tinggi yang diajar oleh Islam.

“Bukan berkempen kepada undang-undang yang bersifat kontekstual yang tidak kondusif di zaman ini," katanya.

Lihat Komen
ADS