Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tidak dapat disangkal lagi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang baharu sahaja menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Auckland, adalah individu penting bagi Malaysia.

Paling ketara ialah ketabahan beliau dalam mendapatkan persetujuan untuk TPPA yang kemuncaknya menyaksikan Malaysia menyertai 11 negara Lingkaran Pasifik lain menandatangani satu perjanjian perdagangan terbesar di dunia, hari ini.

Ini bukan tugas mudah kerana TPPA menerima bantahan keras dan kritikan yang berterusan sehingga ke minggu-minggu akhir, terutama minggu lepas semasa teks perjanjian itu dibahaskan selama dua hari di Parlimen, sebelum dipersetujui menerusi undi majoriti.

Mustapa, 65, berusaha tanpa mengenal lelah, mempamerkan tahap komitmen yang tinggi dalam 'menjual' TPPA kepada semua pihak di Malaysia menerusi sesi pendengaran awam, seminar, temu bual dan laporan berita bagi meyakinkan orang awam yang skeptikal.

Antara kritikan pedas yang dilontar kepada kerajaan ialah ia menjual negara kepada negara maju yang secara langsung, antara lain menginjak hak bumiputera.

Hak bumiputera

Namun Mustapa, menerusi Ketua Perunding TPPA Malaysia, Datuk J Jayasari, sentiasa memastikan dalam siri rundingan bahawa tiada kompromi dalam isu berkaitan hak bumiputera, perusahaan milik negara serta perolehan kerajaan.

Ijazah kelas pertama dalam ekonomi daripada University of Melbourne dan ijazah sarjana dalam pembangunan ekonomi daripada Boston University yang dimilikinya memastikan Mustapa sentiasa pada kedudukan baik untuk mengelakkan salah perhitungan strategik di bawah TPPA.

Pujian juga harus diberi kepada pasukan beliau di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam menerbitkan analisis kos faedah mengenai perjanjian perdagangan itu.

MITI sentiasa telus dengan menterinya mengakui secara konsisten bahawa kerajaan sedar ada kos yang harus ditanggung, namun faedahnya lebih besar berbanding kos itu.

Seperti yang diingini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari awal lagi, usaha keras selama lima tahun itu diuji apabila Dewan Rakyat membahaskan TPPA pada Selasa dan Rabu lepas bagi mendapatkan persetujuan.

Apabila Parlimen meluluskan usul mengenai TPPA itu dengan 127 menyokong dan 84 membantah, Mustapa pastinya menarik nafas lega memandangkan persetujuan tersebut menandakan tugas paling berat dan mencabar dalam karier politik beliau dapat diselesaikan dengan jaya.

Untuk membaca teks TPPA itu sendiri menjadi satu cabaran kerana ia mengandungi 30 bab undang-undang meliputi perdagangan dan isu-isu berkaitan perdagangan yang melangkaui daripada sekadar menyediakan akses pasaran untuk barangan, perkhidmatan dan pelaburan.

Pujian DAP

Ia diunjur meningkatkan keluaran dalam negara kasar Malaysia antara US$107 bilion dan US$211 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2027.

Pelaburan dijangka bertambah antara US$136 bilion dan US$239 bilion, dipacu oleh peningkatan pertumbuhan pelaburan dalam tekstil, pembinaan dan perdagangan pengedaran.

Semasa perbahasan Parlimen mengenai TPPA, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memuji usaha kerajaan membawa TPPA ke Parlimen dan kehebatan Mustapa dalam menangani isu.

Lim berkata: "Kami puji (menteri) atas kepakarannya dan kesediaan (kerajaan) untuk mengadakan sesi khas ini. Saya harap ini akan dijadikan amalan."

Di sebalik keperibadiannya yang tenang, Mustapa yang juga Anggota Parlimen Barisan Nasional bagi Jeli, jelas seorang pemimpin yang teliti serta harus dipuji, terutama bagi usahanya sejak lima tahun lalu untuk melibatkan Malaysia dalam TPPA dan ternyata beliau menjalankan tugas untuk negara dengan cemerlang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS