Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hanya 15% rakyat M'sia amal kaedah kitar semula
Diterbitkan:  Feb 4, 2016 11:39 PM
Dikemaskini: 11:41 PM

Tahap kesedaran dalam mengurangkan bahan buangan menerusi kaedah kitar semula dan penggunaan semula masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Menteri Kesejahteraan bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata hanya 15 peratus rakyat negara ini mengamalkan kaedah kitar semula walaupun kerajaan memperkenalkan program mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori.

Oleh itu, katanya terdapat keperluan untuk mengubah gaya hidup dan anjakan minda masyarakat dalam mengurangkan penggunaan dan meningkatkan kaedah kitar semula bagi memelihara alam sekitar.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di tapak pelupusan sanitari sisa pepejal Bukit Tagar di Bestari Jaya, dekat Kuala Selangor semalam, beliau berkata terdapat keperluan untuk mendidik rakyat mengenai kepentingan kitar semula bahan buangan.

Rakyat Malaysia harus mengikuti langkah penduduk di negara-negara maju di mana amalan kitar semula telah menjadi satu cara hidup, katanya, sambil menambah bahawa kadar kitar semula di Jerman adalah 62 peratus, Austria (68), Taiwan (60) dan 59 peratus di Singapura.

Kerajaan memperkenalkan program pengasingan sisa pepejal pada 1 September tahun lepas dengan mewajibkan semua isi rumah dan pemilik perniagaan di dua wilayah persekutuan dan tujuh negeri mengasingkan sisa pepejal mereka mengikuti komposisi bahan kitar semula dan bukan kitar semula.

Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Johor, Pahang, Selangor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis terlibat dalam inisiatif tersebut.

Mulai 1 Jun ini, kerajaan akan melaksanakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di mana mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah undang-undang ini akan dikenakan tindakan.

Abdul Rahman berkata kementeriannya bimbang dengan jumlah sampah yang dihasilkan oleh rakyat kerana Jabatan Pengurusan Sisa Pepal Negara memerlukan sekurang-kurangya RM2 bilion setahun untuk menguruskan sisa pepejal dan menjalankan kerja-kerja pembersihan awam di dua wilayah persekutuan dan tujuh negeri berkenaan.

Beliau berkata kerajaan akan mempelbagaikan kaedah mengurus sisa pepejal termasuk membina lebih banyak insinerator selain menggunakan tapak pelupusan sanitari sisa pepejal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS