Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penggajian, penempatan semula PATI secara online bermula 15 Feb
Diterbitkan:  Feb 5, 2016 12:25 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam talian akan dilaksanakan bermula 15 Februari ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata buat permulaan program yang akan memanfaatkan kira-kira dua juta pekerja asing tanpa dokumen yang sah itu akan dilaksanakan selama tiga bulan.

Beliau berkata program itu akan membantu pekerja terbabit daripada ditipu ejen pekerja asing dalam urusan mendaftarkan mereka.

"Sebelum ini ada majikan yang melakukannya melalui ejen tetapi selepas membayar sejumlah wang, pendaftaran itu tidak dilaksanakan menjadikan pekerja itu bekerja tanpa dokumen sah.

"Ia juga dapat mengelak kes majikan tidak membayar levi atas pekerja terbabit," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat 2016 dan pelancaran Dasar Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata program itu akan diteruskan jika mendapat sambutan baik daripada majikan dan pendatang asing.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Kementerian Dalam Negeri akan bertemu para majikan selepas sambutan Tahun Baru Cina ini bagi membincangkan pelaksanaan kadar levi baru untuk pekerja asing.

Katanya kerajaan mengambil maklum rungutan dan kritikan majikan berhubung kadar baharu levi dan pertemuan itu akan digunakan bagi mendengar maklum balas dan memperincikan hal tersebut.

Ahmad Zahid berkata hal itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila menghubunginya semasa beliau berada di Beijing, China yang mahu beberapa aspek dalam pelaksanaan tersebut seperti kadar dan tempoh pelaksanaan dilihat semula.

Beliau berkata pelaksanaan langkah yang bermula 1 Februari itu dijangka memberi pendapatan tambahan RM4 bilion kepada negara.

Pengenalan kadar baru itu melibatkan hanya dua kategori diperkenalkan berbanding berdasarkan pelbagai sektor sebelum ini.

Mereka yang berada di sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dikenakan bayaran baharu RM2,500, manakala mereka yang terlibat di sektor ladang dan pertanian dikenakan RM1,500 bagi setiap pekerja.

Keputusan pengenalan kadar levi baru itu dibuat seiring pengumuman Perdana Menteri dalam pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Jan lepas yang menyentuh mengenai penyusunan semula kadar levi pekerja asing.

- Bernama

Lihat Komen
ADS