Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes bunuh Tapah: 2 beranak dibebas dengan pengawasan PBE
Diterbitkan:  Feb 5, 2016 9:00 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Dua beranak yang direman sejak tahun lepas bagi membantu siasatan kes bunuh di Jalan Pahang, Tapah, dibebaskan hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh Murtazadi Amran membuat keputusan itu selepas tempoh reman selama 59 hari sejak Disember lepas yang dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) berakhir hari ini.

Beliau turut memerintahkan supaya Peranti Pengawasan Elektronik (PBE) dipasangkan pada mekanik berusia 57 tahun dan anak lelakinya yang berumur 20 tahun bagi tempoh maksimum 59 hari mulai hari ini sehingga 3 April.

Selepas dipasangkan dengan PBE, dua beranak yang berpakaian lokap berwarna oren, kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk dibebaskan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong memohon supaya mahkamah membebaskan dua beranak itu mengikut Seksyen 7(1)(b) POCA dan memasang PPE mengikut Seksyen 7(2) akta sama.

Harris Ong ketika ditemui pemberita berkata dua beranak itu dibebaskan kerana siasatan tidak dapat diselesaikan sepanjang mereka direman sejak Disember lepas namun, kedua-duanya masih dalam tindakan untuk didaftarkan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Akta 297).

Beliau berakta sepanjang tempoh pemakaian PBE itu, Lembaga Pencegahan Jenayah akan menetapkan sama ada dua beranak itu boleh dilepaskan atau ditahan di mana-mana pusat tahanan selama dua tahun atau sekatan dengan jaminan selama lima tahun.

Selain itu, mekanik itu dan anak lelakinya perlu mematuhi 10 syarat ditetapkan termasuk melaporkan diri kepada ketua balai polis terdekat dan memaklumkan jika ada pertukaran alamat.

"Kegagalan mematuhi syarat adalah satu kesalahan mengikut subseksyen 7 A(6) Akta Pencegahan Jenayah 1959," katanya.

Pada 26 Oktober lepas, polis menahan empat suspek di sebuah rumah di kawasan bengkel kenderaan di Jalan Pahang, Tapah pada 1.30 tengah hari susulan laporan kehilangan seorang lelaki berusia 46 tahun yang bekerja sebagai pekebun dan ejen hartanah di Kampung Sungai Lah, Chenderiang dekat sini pada 25 Ogos lepas.

Dua lagi suspek iaitu isteri dan anak mekanik itu yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan, dibebaskan tanpa syarat pada 2 Disember tahun lepas setelah didapati mereka tiada kaitan dengan kehilangan lelaki itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS