Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DIGP: Individu aib foto pemimpin berdepan tindakan
Diterbitkan:  Feb 6, 2016 6:18 AM
Dikemaskini: 10:52 PM

Individu yang menyebar atau mengaibkan gambar pemimpin negara bakal berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata akta berkenaan melarang pengguna media sosial menyalah guna kemudahan untuk tujuan memburukkan individu tertentu.

"Saya memberi amaran kepada pengguna media sosial yang berbuat sedemikian dengan tujuan menggunakan platform komunikasi itu bagi tujuan mengancam dan memburukkan orang lain khususnya pemimpin negara," katanya dalam sidang media sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya Op Selamat 8/2016 di Plaza Tol Litrak di Petaling Jaya semalam.

Noor Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai karikatur badut yang memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata polis juga akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pengguna laman sosial yang mengugut untuk melancarkan serangan bom di sekitar ibu negara termasuk kediaman perdana menteri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata mana-mana pihak yang mendatangkan kecederaaan kepada individu lain sama ada warga tempatan atau warga asing akan dikenakan tindakan.

"Warga asing dan penduduk negara ini semuanya tertakluk kepada undang-undang, jika seseorang itu mendatangkan kecederaan sesuka hatinya tidak kira kepada kenalannya atau bukan, ia tetap menjadi satu kesalahan," katanya.

Noor Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman video berdurasi empat minit yang menunjukkan seorang warga Pakistan dipukul oleh penulis blog kontroversi 'Papagomo' yang menjadi viral di media sosial.

- Bernama

Lihat Komen
ADS