Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS minta AG jaga amanah, ingat pesan Nabi
Diterbitkan:  Feb 7, 2016 11:30 AM
Dikemaskini: 5:21 AM

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali diminta menimbang terlebih dahulu cadangan meminda undang-undang terhadap pihak yang membocorkan rahsia negara termasuk wartawan yang melaporkannya.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata lebih wajar jika peguam negara mengkaji semula hukuman terhadap mereka yang diberi amanah tetapi melakukan salah guna kuasa dan rasuah.

"Elok juga kalau peguam negara mengkaji semula hukuman terhadap mereka yang diberi amanah tapi terbukti melakukan salahguna kuasa dan rasuah sehingga merosakkan nama baik negara agar mereka juga dihukum penjara seumur hidup," katanya pda kenyataan media hari ini.

Katanya, pihak yang membocorkan rahsia atas prinsip 'amal makruf nahi mungkar' adalah jauh lebih mulia berbanding mereka yang menggunakan rahsia sebagai alasan untuk melindungi kesalahan mereka.

Malah, katanya, beliau juga janggal apabila Apandi kerap menjadi 'jurucakap' dalam isu RM2.6 bilion dan dilihat 'berlebih-lebih' sedangkan perdana menteri tidak membuat sebarang penjelasan.

Perkara itu menyebabkan imej dan kebebasan Jabatan Peguam Negara diragui oleh rakyat, katanya lagi.

Dengan memetik sebuah hadis, Tuan Ibrahim memberi peringatan kepada Apandi tentang tanda-tanda kedatangan hari kiamat apabila amanah dipersia-siakan dan sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya.

"Begitulah apabila kita mengkhianati amanah, menyalahgunakan umur, kesihatan, harta, pangkat dan segala perkara yang diberikan oleh Allah dengan tidak mengikut perintah Allah.

"Ingat bahawa semuanya akan dikira oleh Allah. Tiap-tiap orang dimatikan, tidak ada orang yang boleh menyelamatkan dirinya daripada mati. Mereka akan dibangkitkan semula dan dibicarakan di hadapan Allah," katanya.

Semalam, dalam temubual eksklusif bersama akhbar Sin Chew Daily, Apandi memaklumkan sedang menimbang untuk meminda undang-undang bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia negara dan wartawan yang melaporkannya.

Katanya, Pejabat Peguam Negara sedang mengkaji untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan.

Beliau juga menegaskan sekiranya wartawan melindungi atau enggan mendedahkan sumber, mereka akan dianggap bekerjasama dengan pensabotaj.

Lihat Komen
ADS