Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramesh Rao ancam saman Sarawak Report
Diterbitkan:  Feb 7, 2016 1:16 PM
Dikemaskini: 5:27 AM

Ramesh Rao, penasihat bagi kumpulan yang menggelar diri mereka Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia (PMSP) mengancam untuk menyaman Sarawak Report kerana menggelarnya "bankrap" dan " cyber trooper BN".

"Saya akan menyaman Sarawak Report kerana memfitnah saya. Saya mencabar Sarawak Report untuk membuktikan bahawa saya adalah seorang cyber trooper dan bankrap," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh PMSP di Twitter.

Sarawak Report melalui kenyataan di Facebook menyatakan Ramesh dihalang polis UK di London ketika cuba mengemukakan "bukti" dan membuat laporan terhadap laman web pemberi maklumat itu.

Ramesh sebaliknya meminta untuk menyerahkan bahan berkenaan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di UK. Mengakui beliau diisytihar bankrap Julai tahun lepas, Ramesh bagaimanapun berkata masalah kebankrapannya telah "selesai".

"Isu ini telah diselesaikan, saya hanya berhutang RM15,000 lagi," katanya.

Menurut laman web Jabatan Insolvensi, seseorang boleh diisytiharkan bankrap melalui perintah Mahkamah Tinggi sekiranya tidak dapat membayar hutang sekurang-kurangnya RM30,000.

Terdapat banyak sekatan dikenakan ke atas bankrap seperti pelucutan aset, sekatan ke luar negara dan memegang jawatan korporat dan perlu menjalankan perniagaan atau lain-lain keperluan untuk membayar pemiutang.

Mengulas lanjut, Ramesh berkata, dokumen yang dikemukakan terhadap Sarawak Report dan editornya Clare Rewcastle-Brown mengandungi maklumat baru.

"Dokumen-dokumen itu tidak pernah didedahkan atau diketahui oleh pihak berkuasa Malaysia," katanya.

Sarawak Report berada di barisan hadapan dalam melaporkan dakwaan kegiatan rasuah melibatkan Datuk Seri Najib Abdul Razak. Perdana menteri itu bagaimanapun menafikan semua tuduhan laman web itu.

Ramesh dan NGO berkenaan dilihat sebagai mesra kepada parti pemerintah dan aktif membongkar laporan laman web itu dengan menuduh Rewcastle-Brown sebagai agen kepada pihak yang mempunyai kepentingan politik.

Lihat Komen
ADS