Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi lancar petisyen siasat PM, mohon Agong campurtangan
Diterbitkan:  Feb 7, 2016 1:56 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini melancarkan petisyen bagi memohon Yang diPertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan serta membuka semula kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, Naib Presiden PKR itu juga meminta Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menggunakan sepenuh kuasa di bawah Perjanjian Bantuan Guaman Bersama (MLA) dengan negara-negara yang sedang menyiasat isu 1MDB termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan medianya, Rafizi meminta rakyat Malaysia untuk menyukai laman Facebook '1 juta desak buka kembali siasatan terhadap Najib Razak' dan menandatangi petisyen maya .

"Setelah mendapat jumlah tandatangan yang memadai, saya dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan akan menulis untuk merafak sembah mengadap Duli Yang Mulia Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai perkara ini.

"Saya yakin rakyat tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja perkara ini ditutup apabila peguam negara menutup kes. Dengan desakan rakyat, saya yakin Datuk Seri Najib boleh dihadapkan ke mahkamah," kata Rafizi.

Dua minggu lalu, Apandi mengumumkan Najib tidak melakukan sebarang jenayah dan mengarahkan kes berkaitan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya ditutup.

Malah Apandi turut berkata, Najib turut memulangkan baki daripada wang dana tersebut.

Semalam, New York Times pula melaporkan, Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir berkata dana yang disebut-sebut itu bukan satu derma malah satu pelaburan oleh individu warganegara Arab Saudi.

Konflik kepentingan

Sehubungan itu, Rafizi mempertikaikan perkara itu dengan mengatakan bahawa Najib bukan seorang ahli perniagaan atau pakar pelaburan sehingga menyebabkan ada pihak dari Arab Saudi memberi RM2.6 bilion.

Rafizi turut mempertikaikan tujuan pelaburan tersebut sekiranya melibatkan aset tertentu.

"Warganegara Arab Saudi yang memberikan dana sebesar itu bagi tujuan pelaburan sudah tentu mahukan balasan tertentu sebagai pulangan kepada pelaburannya.

"Ini memungkinkan wujudnya pertelingkahan kepentingan (c onflict of interest ) memandangkan kuasa Najib yang besar sebagai seorang perdana menteri," katanya.

Katanya lagi, keterlibatan warga Arab Saudi tersebut dalam pelaburan di Malaysia turut membawa kembali dakwaan bahawa dana RM2.6 bilion itu mempunyai kaitan dengan 1MDB kerana syarikat pelaburan itu melibatkan individu tertentu dari negara timur tengah itu.

"Keterlibatan seorang warga Arab Saudi di dalam pelaburan di Malaysia yang bersabit dengan perdana menteri membawa kembali dakwaan bahawa dana RM2.6 bilion itu ada kena mengena dengan 1MDB kerana 1MDB sendiri sebelum ini meuar-uarkan bahawa pelaburannya melibatkan individu tertentu dari Arab Saudi, sementara Najib pula adalah penasihat 1MDB," ujar Rafizi lagi.

Lihat Komen
ADS