Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Laporan isu MB Kedah oleh media Indonesia tidak tepat'
Diterbitkan:  Feb 7, 2016 4:00 PM
Dikemaskini: 11:25 AM

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia hari ini kesal terhadap laporan berita oleh beberapa akhbar di Indonesia mengenai isu peletakan jawatan menteri besar Kedah yang didapati tidak tepat dan mengelirukan.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata media tempatan Indonesia didapati menyiarkan berita kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memecat Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Katanya kedutaan ingin memberi penjelasan bahawa Mukhriz tidak dipecat, sebaliknya terpaksa meletak jawatan kerana tidak mendapat sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ketua-ketua Umno Bahagian di Kedah.

"Kebanyakan akhbar di Indonesia menyiarkan berita 'Putera Mahathir di depak' yang bermaksud anak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipecat sedangkan dalam sistem pentadbiran di Malaysia, seseorang menteri besar atau ketua menteri terpaksa meletak jawatan jika tidak lagi mendapat sokongan Adun masing-masing," katanya.

Beliau berkata laporan tidak tepat itu mungkin disebabkan wartawan di Indonesia tidak memahami sistem pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan di Malaysia dan mereka sepatutnya membuat kajian yang mendalam sebelum menulis berita mengenai isu politik sesebuah negara.

Isu peletakan jawatan menteri besar Kedah itu mendapat perhatian media utama di negara ini dan berita yang dilaporkan memberi gambaran kononnya Mukhriz dipecat oleh perdana menteri.

Zahrain berkata isu pertukaran menteri besar bukanlah sesuatu yang baru atau ganjil di Malaysia kerana sebelum Mukhriz, terdapat juga beberapa menteri besar yang terpaksa meletakkan jawatan di Kedah dan di negeri lain setelah kehilangan kepercayaan serta sokongan majoriti Adun.

Katanya sistem pelantikan menteri besar berbeza dengan pelantikan presiden, gabenor atau walikota di Indonesia kerana jawatan menteri besar dilantik daripada kalangan wakil rakyat atas sokongan perdana menteri dan persetujuan sultan atau raja di negeri masing-masing.

"Bagi jawatan presiden atau gabenor di Indonesia, tiada sesiapa yang boleh meminta mereka melepaskan jawatan kerana mereka dipilih secara langsung oleh rakyat bagi jawatan itu dalam pilihan raya tetapi di Malaysia, jawatan menteri besar tidak dipilih oleh rakyat kerana jawatan itu tidak ditandingi dalam pilihan raya," katanya.

Beliau berkata isu pertukaran menteri besar Kedah telahpun selesai dengan aman dan semua pihak harus mengambil pengajaran bahawa dalam politik, seseorang tidak boleh terlalu mengidola mana-mana pemimpin.

Zahrain juga menggesa rakyat Malaysia jangan terlalu mengidola mana-mana pemimpin hanya kerana keperibadiannya kelihatan seolah-olah seorang yang sangat baik atau warak.

"Saya telah melalui pengalaman ini kerana dahulu saya pernah mengidola bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi akhirnya saya sedar bahawa saya tertipu dan diperdayakan," katanya.

-bernama

Lihat Komen
ADS