Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tindakan AG cubaan jelas takutkan media - Geramm
Diterbitkan:  Feb 7, 2016 5:39 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Gerakan Media Marah (Geramm) menyifatkan cadangan peguam negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk menguatkan Akta Rahsia Rasmi 1972 sebagai cubaan menakutkan media daripada melaporkan kebenaran.

"Tindakan mengancam media yang hanya menjalankan tugas melaporkan isu-isu berkaitan kepentingan awam adalah sesuatu yang tidak wajar sama sekali.

"Penggunaan sumber rahsia oleh media bukan untuk mensabotaj kerajaan tetapi demi mencari kebenaran dalam sesuatu perkara, dan mempertanggungjawabkan kerajaan pada pihak awam.

"Geramm melihat kenyataan peguam negara ini sebagai cubaan jelas untuk menakut-nakutkan media. Itu sahaja," kata kumpulan tersebut dalam satu kenyataan.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilapor berkata OSA boleh digunakan terhadap wartawan yang melindungi sumber mereka atas dasar etika kewartawanan.

Beliau juga memaklumkan pejabat peguam negara sedang menimbangkan untuk meminda OSA dan memasukkan penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan sebagai hukuman.

Selain itu Apandi juga mendakwa tindakan wartawan yang melindungi sumber mereka boleh dilihat sebagai bekerjasama dengan pihak yang berpotensi melakukan sabotaj.

Di sebalik cadangan tersebut, Geramm berpendapat peguam negara dan kerajaan sepatutnya melindungi wartawan dan sumber mereka dengan menggubal akta pemberi maklumat.

"Geramm ingin menggesa peguam negara, kerajaan dan penggubal undang-undang untuk menggubal akta pemberi maklumat yang benar-benar dapat melindungi wartawan dan sumbernya yang melaporkan hal yang benar kepada orang ramai.

"Justeru kami mengecam 'ugutan' peguam negara terhadap amalan kewartawanan kerana ia mengancam amalan kewartawanan yang beretika di negara ini dan terus menyekat hak orang ramai untuk mendapat maklumat," jelasnya.

Geramm adalah perikatan longgar kumpulan wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.

Lihat Komen
ADS