Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis cari individu terima pingat tak diiktiraf di Perak
Diterbitkan:  Feb 8, 2016 7:15 AM
Dikemaskini: 11:19 PM

Polis Perak giat mengesan individu yang menerima pingat atau darjah kebesaran daripada pihak yang tidak diiktiraf kerajaan negeri itu bagi membantu siasatan, kata Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan.

Sehubungan itu, beliau meminta individu yang diperdaya atau ditipu dengan penganugerahan itu supaya tampil membuat laporan polis.

"Pihak polis meminta mana-mana individu supaya tidak mendapatkan atau membeli apa jua pingat kebesaran negeri dari saluran tidak sah dan diragui.

"Di Perak, pingat yang disahkan dan diiktiraf kerajaan negeri hanya dianugerahkan Tuanku Sultan Perak, Duli-Duli Sultan dan Raja-Raja yang sah mengikut undang-undang sahaja," katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 17 Januari lepas, akhbar tempatan melaporkan seorang individu ditabalkan sebagai 'Maharaja Kinta' dengan menggunakan gelaran 'Yang Mulia Datuk Seri Paduka Diraja' dalam satu majlis di Selangor hujung tahun lepas.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir baru-baru ini menggesa mereka yang menerima pingat atau darjah kebesaran daripada pihak tidak diiktiraf kerajaan negeri Perak yang membawa gelaran 'Datuk' dan 'Datuk Seri' supaya tidak memakai gelaran itu.

Menjelas lanjut mengenai seorang individu di Perak yang didakwa menggunakan pihak istana bagi mengeluarkan 'surat kuning' untuk melindungi penerimanya daripada dikenakan sebarang tindakan, Hasnan berkata perkara itu tidak benar dan merupakan satu perdayaan.

Mereka yang didapati melakukan kesalahan memperdaya orang lain, boleh dikenakan hukuman penjara dan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang urusan penganugerahan pingat atau darjah kebesaran negeri yang tidak sah bagi mengelak dikenakan tindakan pihak berkuasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS