Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zam: Pinda OSA akan rosakkan imej Najib
Diterbitkan:  Feb 8, 2016 11:48 AM
Dikemaskini: 8:58 AM

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata cadangan peguam negara untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) akan hanya memburukkan imej Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, tindakan untuk meminda OSA bagi memasukkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan juga akan membantutkan usaha perdana menteri mengembangkan demokrasi .

“Ia hanya akan mencederakan imej Najib yang sedang berusaha menonjolkan negara kita lebih demokratik dari pemimpin sebelumnya kepada mata dunia.

“Saya sendiri menentang kebocoran maklumat rasmi kerajaan yang selama ini sering didedahkan pembangkang tetapi bukan cara pinda akta untuk kenakan hukuman penjara seumur hidup,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Zainuddin berkata demikian susulan cadangan Tan Sri Apandi Ali untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang membocorkan rahsia rasmi negara dan wartawan yang melaporkannya, tidak benar.

Mohamed Apandi turut dilaporkan berkata, peguam negara akan mendakwa wartawan yang enggan mendedahkan sumber mereka.

Jika benar kenyataan Mohamed Apandi itu, kata Zainuddin, sudah tentu sangat mengejutkan kerana boleh memberi kesan negatif kepada imej negara.

Zainuddin berkata, negara luar pasti akan mengkritik Malaysia sebagai sebuah negara yang menindas rakyat.

“Kenyataan Mohamed Apandi itu langsung tidak membantu Najib dan hanya akan menyebabkan campur tangan pihak asing terhadap undang-undang kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS