Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan cakap banyaklah Apandi, kata Khairuddin
Diterbitkan:  Feb 8, 2016 6:00 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Membocorkan maklumat kerajaan untuk kepentingan negara dan melawan rasuah tidak akan memudaratkan negara ini, kata bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Beliau mengulas rancangan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi menghukum mereka yang membocorkan rahsia kerajaan dengan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan.

Apandi berkata wartawan yang melindungi sumber maklumat juga tidak terlepas daripada hukuman tersebut.

"Kalau kebocoran maklumat kerajaan didedahkan untuk kepentingan bangsa, agama dan tanahair ke arah memerangi atau membasmi rasuah mahupun penyelewangan; apakah itu memudaratkan negara kita?," soal Khairuddin dalam kenyataan media hari ini.

Khairuddin berkata peguam negara sepatutnya bekerjasama dengan negara luar dan memberi tumpuan menangani dakwaan rasuah dalam kes 1MDB terlebih dahulu.

"Jangan cakap banyak sangatlah Tan Sri Apandi. Selesai isu skandal 1MDB, wang derma RM2.6 bilion serta dana SRC (International Sdn Bhd) berjumlah RM42 juta terlebih dulu bagi meyakinkan seluruh rakyat Malaysia," ujarnya.

Khairuddin sebelum ini membuat laporan polis dan SPRM ke atas Apandi dan meminta kedua-dua agensi itu menyiasat secara telus sama ada terdapat unsur salahguna kuasa dilakukan peguam negara.

'AG Patut ucap terima kasih'

Sementara itu Penyelaras Jingga13 Fariz Musa berkata Apandi harus berterima kasih kepada pemberi maklumat.

"Selaku peguam negara sepatutnya beliau mengucapkan terima kasih dan menyokong segala pendedahan serta memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat , wartawan dan editor media agar keselamatan mereka terjamin.

"Beliau juga perlu menyiasat dan mendakwa mereka yang terlibat ke muka pengadilan," kata Fariz dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau seterusnya menasihatkan Apandi tidak menjadi 'balaci' Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan bertindak sebagai seorang penjawat awam yang mempunyai maruah dan integriti.

Rancangan Apandi untuk menyekat kebocoran rahsia kerajaan dibuat dua minggu selepas beliau membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam isu derma RM2.6 bilion dan skandal SRC International Sdn Bhd.

Lihat Komen
ADS