Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
OSA: Kalau tak salah mengapa takut?
Diterbitkan:  Feb 10, 2016 1:35 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Cadangan peguam negara meminda Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dilihat Datuk Mahfuz Omar bukan untuk keselamatan negara sebaliknya "melindungi rahsia pemimpin" sedia ada.

Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, pihak berkuasa perlu membezakan antara rahsia negara - yang membabitkan keselamatan dan pertahanan - dengan dokumen menunjukkan aktiviti salah laku seperti rasuah.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Mahfuz berkata rakyat berhak untuk mengetahui segala apa yang berlaku dalam negara ini dan pihak yang berkenaan tidak perlu takut jika tiada tiada sebarang kesalahan dilakukan.

“Keselamatan negara atau penyelewengan rasuah membabitkan pemimpin yang mahu dirahsiakan daripada rakyat?" katanya.

Bekas Naib Presiden PAS itu juga mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin Umno serta BN "masih dalam paradigma tua kuno" kerana beranggapan kebocoran dokumen rasmi boleh menyebabkan berlaku krisis kepercayaan di kalangan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

Sedangkan, katanya, cadangan peguam negara itu bukan untuk mengawal rahsia keselamatan negara tetapi "rahsia keselamatan pimpinan negara yang terlibat dengan salah laku jenayah" seperti rasuah dan penyelewengan.

Keluar dari paradigma tua

Sabtu lalu Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilaporkan berkata kerajaan menimbang untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas pihak membocorkan rahsia negara.

Antara cadangan itu ialah memanjangkan tempoh hukuman penjara sehingga seumur hidup dan 10 sebatan.

Hukuman sama juga dicadangkan terhadap wartawan yang tidak mendedahkan sumber maklumat berita mereka.

Mahfuz berkata aktiviti pembelian peralatan keselamatan dan pertahanan negara memungkinkan wujudnya salah urus dan rasuah seperti "skandal pembelian kapal selam".

Katanya, dokumen berkaitan kontrak projek pembinaan kem tentera, balai polis dan sebagainya perlu dibebaskan daripada OSA.

Begitu juga dengan surat teguran Gabenor Bank Negara terhadap Tabung Haji.

Menurut Mahfuz, ia tidak perlu dilihat sebagai kebocoran rahsia sebaliknya adalah untuk membolehkan proses semak dan imbang rakyat bagi memastikan urus tadbir negara berlaku lebih telus serta berintegriti.

"Pemimpin politik dan peguam negara serta rakyat perlu keluar daripada paradigma tua kuno yang beranggapan bahawa OSA akan menyebabkan ekonomi negara lumpuh.

"Jangan takut dan berahsia kalau tidak buat salah, tipu dan rasuah,” katanya.

Lihat Komen
ADS