Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis digesa anjur lebih banyak program libatkan masyarakat
Diterbitkan:  Feb 11, 2016 6:12 AM
Dikemaskini: 10:20 PM

Polis digesa menganjurkan lebih banyak program melibatkan orang awam bagi meyakinkan mereka kadar jenayah menunjukkan trend menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye membuat gesaan itu berdasarkan persepsi negatif masyarakat yang percaya kadar jenayah masih tinggi, walaupun perangkaan polis menunjukkan penurunan sejak akhir-akhir ini.

Lee berkata persepsi negatif itu timbul selepas orang ramai sering terbaca berita berkaitan jenayah yang dilaporkan oleh media setiap hari.

"Saya berpendapat dengan turun padang melalui program melibatkan orang awam dengan menjelaskan kepada mereka mengenai isu-isu berkaitan jenayah, dapat membantu polis mengurangkan persepsi negatif ini.

"Selain itu, polis harus menghebahkan kes-kes yang diselesaikan untuk menunjukkan mereka (polis) sebenarnya memainkan peranan dalam menangani situasi ini," katanya dalam program bual bicara 'Hello Malaysia" yang disiarkan Bernama TV, semalam.

Berdasarkan statistik yang diterima MCPF daripada polis baru-baru ini, beliau berkata indeks jenayah menunjukkan penurunan sebanyak 10.1 peratus, daripada 128,750 kes pada 2014 kepada 115,545 kes pada 2015.

Lee, yang memuji usaha polis dalam mengurangkan kes-kes jenayah di seluruh negara, berkata statistik itu adalah berdasarkan jumlah laporan polis yang dibuat oleh pengadu atau mangsa kes-kes jenayah.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu kumpulan pengganas Daesh di negara ini, beliau menyeru orang ramai menyokong sebarang tindakan yang diambil kerajaan dalam usaha membendung kumpulan militan itu daripada menyebarkan ideologi mereka di sini.

"Oleh kerana negara ini mengamalkan konsep Wasatiyyah, saya berpandangan rakyat Malaysia harus menentang semua bentuk extremisme atau keganasan kerana ia bercanggah dengan budaya kita," katanya ketika ditemui selepas program itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS