Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Harimau jenis ‘Malayan tiger’ yang jumlahnya cuma tinggal kurang dari 250 ekor dinegara ini kini diancam kepupusan.

Malah lebih menyedihkan dalam tragedi Jumaat lalu, haiwan jenis itu yang sedang bunting telah mati selepas dirempuh kenderaan ketika melintas di kilometer 321.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Pemandu MPV tersebut Mohd Syahrin Abdul Aziz berkata, beliau berkata tragedi tersebut akan membuka mata masyarakat dan kerajaan terhadap pentingnya usaha menjaga haiwan yang makin pupus.

Mohd Syahrin yang juga jurugambar bebas yang mengakui masih sedih dengan tragedi itu turut mempertimbangkan cadangan dari teman-temannya untuk mengeluarkan dana bagi menjaga haiwan tersebut.

“Saya ada terima cadangan dari kawan-kawan untuk beri sumbangan untuk penjagaan harimau di zoo atau pusat pemulihan yang sekarang ini saya sedang mempertimbangkannya.

“Harimau jenis Malayan tiger ini memang sudah mahu pupus, jadi kejadian sebegini akan menimbulkan kesedaran dalam masyarakat kita,” katanya yang juga pemilik The Wedding Diaries kepada Malaysiakini.

Mohd Syahrin berkata, seharusnya perkara seperti ini dipandang serius dan tindakan sewajarnya perlu diambil supaya ia tidak berulang.

“Ia hikmah, untuk pihak berwajib, perlu pantau tempat tersebut. Ia mungkin harimau itu sesat kerana tempat tinggalnya telah diusik,” katanya.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki cuba mencuri taring harimau tersebut dengan menggunakan tukul besi.

Menceritakan detik itu, Mohd Syahrin berkata pada awalnya lelaki berkenaan ingin mengangkut bangkai harimau itu bagaimanapun beliau sempat menghalangnya.

Namun selepas ditegur, lelaki berkenaan mengetuk mulut harimau itu dan cuba mengeluarkan taringnya.

Bagaimanapun Mohd Syahrin tidak dapat memberi kepastian sama ada lelaki terbabit dapat mengeluarkan taring harimau berkenaan selepas kira-kira 10 minit mencuba.

Lihat Komen
ADS