Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bagi Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap merupakan faktor penting Pakatan Harapan dalam mencorak dan membawa perubahan di negara ini.

Namun meskipun tanpa kelibat Ketua Umum PKR itu, Mohamad Sabu percaya perubahan tetap perlu dilakukan oleh generasi muda demi masa depan negara.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata ini kerana golongan muda pada masa kini 'jauh terpisah' berbanding zaman kegemilangan Anwar sebagai pemimpin pelajar pada era 1970-an.

"Anwar itu perlu kerana dia faktor penting Pakatan Harapan tapi kita perlu perubahan minda rakyat. Itu perlu. Kita perlu buat perubahaan.

"Generasi muda tolong lakukan perubahan. (Zaman) Anwar dan generasi anak muda sekarang jauh terpisah.

"Tapi kena mula dari diri mereka sendiri untuk tempatkan diri mereka (sebagai agen perubahan)," katanya kepada Malaysiakini.

"Sebab itu pentingnya kita berkorban untuk generasi akan datang. Kalau tak berani berkorban, kita akan berada di tahap ini sampai bila-bila," kata Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sampai bila Harapan akan terus bergantung kepada 'Anwar' walaupun bekas ketua pembangkang itu telah dipenjarakan.

Anwar yang merupakan pemimpin de facto pembangkang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 10 Februari tahun lalu atas tuduhan liwat , yang disifatkan para penyokongnya sebagai konspirasi politik selepas tuduhan sama dikenakan terhadapnya 18 tahun lalu.

Sempena setahun Anwar dipenjarakan, Harapan mengadakan Himpunan 365 #BebasAnwar pada malam kelmarin di hadapan Penjara Sungai Buloh yang dihadiri kira-kira 1,000 penyokong.

Anwar dikenali sebagai pemimpin pelajar pada tahun 1970-an, sebelum menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan kemudian terjun ke dunia politik bagi menyertai Umno sehinggalah dipecat pada 1998 oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Buang sikap fanatik

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai terdapat segelintir rakyat hilang keyakinan terhadap pimpinan parti pembangkang, Mohamad tidak menafikan perkara itu dan berpendapat masalah utama dihadapi kini ialah suara pembangkang tidak 'bulat'.

Tanpa menamakan mana-mana parti, Mohamad berkata apa yang berlaku kini ialah sikap segelintir pihak yang mengamalkan sikap 'fanatik' terhadap parti berbanding kepentingan rakyat. Perkara itu, jelasnya perlu dibuang demi kebaikan rakyat serta masa depan negara.

"Misalnya, bila buat (perhimpunan) BERSIH, ada pihak kata tak perlu pergi, buat (himpunan) TPPA pula.... belum ada sikap 'bulat' kerana kita mendokong kepentingan parti melebihi kepentingan rakyat. Ini perlu dipecahkan," katanya.

Justeru itu, Mohamad, 62, berkata sifat fanatik terhadap parti ini perlu dibuang memandangkan setiap ahli politik perlu perjuangkan kebenaran.

"Parti politik alat untuk kita bekerja bukan perlu fanatik. Tak boleh (fanatik). Kena perjuangkan kebenaran, hak dan batil, makruf dan mungkar," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS