Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rakyat di negara ini sudah lali dengan amaran supaya mereka terus menyokong industri tempatan, termasuklah menggunakan kereta buatan nasional- Proton.

Namun, bagi seorang jurutera, Azrul Zulkfili, 34 amaran sedemikian tidak perlu kerana apa yang lebih utama, Proton harus meningkatkan kualiti terlebih dahulu bagi bersaing dengan pasaran antarabangsa.

Beliau ditanya mengenai amaran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia akan kembali menjadi negara gagal sekiranya rakyat tidak menyokong industri tempatan termasuk Proton.

Menulis di blognya, Mahathir yang juga penasihat Proton berkata tindakan membeli kereta asing hanya akan menguntungkan ekonomi negara luar.

“Pada saya, ugutan sedemikian tidak penting sebaliknya mereka (kerajaan) memikirkan apa yang kita perlu baiki dari segi produk mahu pun kepimpinan negara kita sendiri. Kita kena kaji perkara ini dan bukan mencari salah pihak lain.

“Dia (Mahathir) kena tekan pihak yang mengeluarkan produk tersebut dari segi produktiviti. Kita tidak mahu menghasilkan kuantiti lebih dari kualiti,” kata Azrul.

Sementara itu, bagi seorang kerani syarikat swasta, Megat Hafizul Azim Megat Zulkafli, 26 Proton sepatutnya berusaha mempertingkatkan kualiti produk keluaran mereka jika mendapati ia kurang mendapat sambutan orang ramai.

“Kalau Proton tahu rakyat tak sokong kereta buatan mereka maksudnya Proton perlu mempertingkatkan usaha mereka untuk mengeluarkan kereta yang lebih berkualiti yang dapat mengubah persepsi rakyat terhadap kereta buatan Malaysia.

“Ini tidak, bila orang cakap kereta Proton sahaja orang akan cakap kereta biasa dan mudah rosak,” katanya kepada Malaysiakini.

Manakala, Ahmad Firdaus Ramli, 32, pekerja swasta berkata pokok pangkalnya adalah inisiatif kerajaan kerana mereka sahaja yang boleh mengawal dari segi kemasukan kereta asing mahu pun harga pasaran sesebuah kereta tempatan.

“Pokok pangkalnya daripada kerajaan pusat, sebab kerajaan boleh kawal kemasukan kereta asing dan bagi harga murah barulah rakyat beli.

“Ini tak, suruh rakyat beli kereta Proton tapi kereta asing berlambak, murah pula lagi,” tegas Firdaus kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS