Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis kesan pekerja disyaki larikan wang majikan RM80,000
Diterbitkan:  Feb 12, 2016 4:27 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Polis Kota Kinabalu sedang mengesan seorang pemandu kepada seorang ahli perniagaan yang dipercayai melarikan wang tunai RM80,000 milik majikannya pada 4 Februari lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP M Chandra berkata dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi, suspek disyaki melarikan wang tunai yang disimpan dalam beg bimbit di dalam kereta majikannya itu selepas menghantar majikannya ke sebuah restoran untuk bersarapan pagi bersama rakan.

"Ahli perniagaan itu mengarahkan pemandunya untuk terus ke pejabat kerana beliau meminta rakannya menghantar ke pejabat selepas bersarapan, beliau kemudian menghadiri satu mesyuarat.

"Namun, selepas mesyuarat, beliau mendapati beg bimbit berisi wang tunai RM80,000 tidak ada di pejabat," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Chandra berkata mangsa berumur 34 tahun itu ada menghubungi pemandunya beberapa kali tetapi panggilan itu tidak berjawab dan talian telefon dimatikan.

Mangsa kemudian pulang ke rumah dan mendapati kenderaan berada di rumah dan beg bimbit ada di dalam kenderaan, tetapi wang tunai dilarikan, katanya.

Sehubungan itu polis meminta Amli Amjan, 31, untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan dan orang ramai yang mengenali Amli diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Ahmad Zulfairi di talian 013-2618487.

- Bernama

Lihat Komen
ADS