Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Setahun Nik Aziz pergi, cepat sungguh masa berlalu...
Diterbitkan:  Feb 12, 2016 4:34 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Genap setahun pemergian bekas menteri besar Kelantan hari ini, allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyentuh hati timbalan menteri hal ehwal agama, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam kenyataan di Facebook beliau, Asyraf Wajdi menyatakan kekaguman beliau sepanjang mengenali tokoh agamawan itu.

"Cepat sungguh masa berlalu. Rupanya hari ini genap setahun allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz meninggalkan kita," katanya yang turut memuat naik sekeping gambar bersama Nik Aziz.

Gambar tersebut menunjukkan Asyraf begitu mesra ketika sedang mendengar bicara Nik Aziz dalam satu pertemuan mereka sebelum ini.

Nik Aziz yang juga bekas mursyidul am PAS meninggal dunia pada 12 Februari tahun lalu pada jam 9.40 malam di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kelantan.

Beliau merupakan menteri besar Kelantan dari 1990-2013 dan mursyidul am atau pemimpin tertinggi PAS dari 1991 sehingga kematiannya pada 2015.

"Walau apa pun persepsi kawan dan lawan terhadap sosok tubuh ini, saya tetap menyanjung tinggi beliau sebagai seorang pemimpin yang banyak meninggalkan bekas kepada sesiapa sahaja.

"Saya sendiri berkesempatan beberapa kali menziarahi beliau, berbincang dan mengutip hikmah walaupun tidak semua perkara kita perlu bersetuju," jelas bekas ahli parlimen Tumpat itu.

Sepanjang mengenali Nik Aziz, Asyraf berkata, beliau banyak belajar makna kerendahan diri, nilai tawaduk dan sikap bersederhana pemimpin itu sebagai ahli politik walaupun sudah punya kedudukan tinggi di mata manusia.

"Moga Allah merahmati dan mengampunkan segala dosa arwah dan menempatkan rohnya di kalangan para muttaqin dan muslihin di jannatunaim ," doa Asyraf yang juga pengerusi biro agama Umno Kelantan.

Cepat sungguh masa berlalu. Rupanya hari ini genap setahun Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meninggalkan kita....

Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on Thursday, 11 February 2016

Lihat Komen
ADS