Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemilik Vivekananda Ashram gagal batal keputusan Jabatan Warisan Negara
Diterbitkan:  Feb 12, 2016 7:51 PM
Dikemaskini: 11:55 AM

Syarikat Vivekananda Ashram Kuala Lumpur hari ini gagal membatalkan keputusan Jabatan Warisan Negara untuk mewartakan kawasan bangunan Vivekananda Ashram di Brickfields, yang berusia 110 tahun, sebagai tapak warisan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara terhadap permohonan syarikat itu bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu.

Hanipah membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Datuk David Gurupatham, yang mewakili syarikat itu selaku pemohon.

Turut hadir dalam prosiding itu ialah Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob yang bertindak bagi pihak Jabatan Warisan Negara, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Dr Zainah Ibrahim, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sebagai responden.

Mazlifah ketika ditemui pemberita berkata mahkamah turut menolak permohonan syarikat Vivekananda untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman atas alasan permohonan itu adalah pramatang dan bersifat akademik.

Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah berhubung kos, katanya.

Mazlifah berkata permohonan itu pramatang berikutan tindakan syarikat Vivekananda memfailkan permohonan itu lebih awal sebelum proses rayuan kepada menteri pelancongan dan kebudayaan Malaysia selesai.

"Pemohon telah membuat rayuan kepada menteri pelancongan dan kebudayaan menerusi sepucuk surat bertarikh 7 Oktober 2015. Bagaimanapun, sebelum menteri berkenaan membuat keputusan berhubung rayuan itu, permohonan ini difailkan pada 13 Oktober 2015," katanya.

Menteri berkenaan kemudian menolak rayuan itu dan mengekalkan kawasan berkenaan sebagai tapak warisan.

Pada 13 Oktober tahun lepas, syarikat Vivekananda yang juga pemilik hartanah berkenaan, memfailkan permohonan itu bagi memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan dan notis bertarikh 15 Julai 2015 jabatan berkenaan yang akan mewartakan kawasan bangunan Vivekananda Ashram, berkeluasan 43,558 kaki persegi (13,276.47 meter persegi) sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Syarikat itu juga memohon satu deklarasi bahawa kawasan sekitar bangunan itu tidak didefinisikan sebagai warisan semula jadi atau warisan kebudayaan untuk diwartakan sebagai tapak warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, sebaliknya hanya bangunan Vivekananda Ashram diwartakan sebagai tapak warisan.

Pemohon juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah mandamus supaya Jabatan Warisan Negara mempertimbang cadangan untuk mewartakan hanya bangunan Vivekananda Ashram sebagai tapak warisan dan membenarkan hartanah persekitarannya untuk dimajukan.

Syarikat itu turut memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan perintah perlindungan interim jabatan berkenaan dan secara alternatif, jabatan itu membayar ganti rugi kepada syarikat itu kerana telah dilucutkan kegunaan hartanahnya.

Selain itu, syarikat berkenaan juga memohon perintah injuksi interim untuk menghalang jabatan berkenaan daripada mengambil sebarang tindakan terhadap syarikat dan tapak bangunan terbabit sehingga permohonan selesai.

Sehubungan itu, ia memohon gantirugi RM60,093,920 daripada Jabatan Warisan Negara sebagai pampasan kewangan kerana syarikat itu dinafikan hak asasinya untuk menggunakan hartanah berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS