Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Umno: Mat Sabu 'ada konflik dalam diri'
Diterbitkan:  Feb 12, 2016 9:49 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Tindakan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu melempar mikrofon ketika berucap pada acara mengenang setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara disifatkan sebagai kebudak-budakan.

“Nak jadi pemimpin kena jaga adab… ada tatasusilanya. Mungkin kecewa setelah gagalnya AMANAH dalam mendapat sokongan atau kegagalan dalam menimbulkan perasaan marah rakyat terhadap kerajaan.

“Beliau perlu ingat… rakyat berhak dalam membuat penilaian dan berhak dalam membuat keputusan. Jangan campur adukkan perjuangan dengan perbuatan-perbuatan yang tidak sopan.

“Sebab itu saya katakan beliau mengalami konflik dalam diri sendiri,” kata anggota parlimen Langkawi Datuk Ir Nawawi Ahmad kepada Umno Online , di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kata Nawawi ( gambar ), kekecewaan ditonjolkan bekas timbalan presiden PAS itu bukan mengejutkan.

Ini kerana, kata Nawawi, kelahiran parti Islam baru itu tidak mendapat sambutan menyeluruh.

Media Umno itu juga memetik Nawawi sebagai berkata tingkah laku Mohamad sewajarnya menjadi penilaian terbaik rakyat di seluruh negara.

Nawawi menganggap tindakan Mohamad dalam himpunan di depan penjara Sungai Buloh itu sekadar untuk menarik tumpuan politik.

“Sepatutnya beliau kena tunjukkan yang terbaik dan kena tunjukkan apa yang boleh dilakukan lebih baik daripada kerajaan yang ada hari ini.

“jangan hanya sekadar tunjuk baling mikrofon sebagai simbolik kepada perasaan kecewanya. Itu sifat kebudak-budakan,” ujarnya.

Mohamad dalam ceramah ringkas pada Selasa malam itu menarik perhatian dengan melempar mikrofon ke latar belakang pentas kerana kecewa dengan sikap rakyat Malaysia yang menurutnya penakut walaupun “ditindas”.

Lihat Komen
ADS