Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelajar UniKL terima wang tajaan MARA sebelum akhir Februari
Diterbitkan:  Feb 13, 2016 6:13 AM
Dikemaskini: 11:10 PM

Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membayar wang tajaan kepada 11,186 pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi kemasukan Julai dan September 2015 sebelum akhir bulan ini.

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa ketika memberi jaminan itu berkata sebanyak RM264 juta diperuntukkan bagi membayar tajaan semua pelajar terbabit.

Sementara itu, beliau berkata bayaran bagi kemasukan Januari tahun ini akan dibuat bulan depan.

"Kita tidak berselindung... MARA ada sedikit masalah jadi MARA perlu buat pelarasan. Duit yang diperuntukkan kepada kita bukan dikurangkan tetapi kerana kos menaja sudah meningkat dan kita mesti uruskan dahulu pelajar yang memang sedang ditaja.

Walau apa jua keadaan ekonomi, permohonan pelajar tidak kurang, malah semakin ramai yang buat permohonan," katanya pada sidang media pada program Pengerusi Mara bersama warga MARA di Ipoh semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan dibangkitkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli mengenai sama ada pelajar UniKL akan diberi pembiayaan pendidikan oleh MARA seperti yang dijanjikan.

Annuar berkata dakwaan Rafizi berhubung status dan peruntukan penajaan pelajar terutama di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) terpesong daripada realiti serta fakta sebenar.

"Apa yang dilontarkan (Rafizi) sememangnya ada dalam pengetahuan kita. Bagaimanapun kita menerima secara terbuka perkara yang dibangkitkan," katanya.

Dalam pada itu, Annuar mempelawa semua pelajar UniKL yang berhenti belajar kerana masalah kewangan atau terpedaya dengan dakwaan liar kononnya Mara menghentikan tajaan, supaya kembali ke institusi itu.

Annuar berkata ketika ini MARA menaja lebih 75,000 pelajar di pelbagai peringkat pengajian sama ada di dalam atau luar negara dan daripada 30 peratus daripadanya merupakan penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Beliau turut memberi jaminan, MARA akan terus menaja semua pelajar IPTS itu sehingga tamat pengajian selain sedia membantu pelajar baharu tertakluk kepada peruntukan daripada kerajaan, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS