Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahidan nafi jadikan diskusi ilmiah medan debat Asri-Zamihan
Diterbitkan:  Feb 14, 2016 3:12 AM
Dikemaskini: 7:18 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menafikan beliau menjadikan diskusi ilmiah sebagai medan perdebatan antara Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin.

Shahidan berkata diskusi itu yang bertajuk 'Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Diskusi' mengundang Asri dan Zamihan sebagai anggota panel bagi membincangkan isu berbangkit berkaitan agama secara ilmiah.

"Saya mahu jelaskan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan ingin mengadakan debat antara mereka berdua, melainkan hanya diskusi ilmiah secara tertutup atau boleh dikatakan lebih kepada perbincangan," katanya kepada pemberita di Kangar semalam.

Shahidan berkata demikian sebagai menjawab gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya tidak mengadakan program itu.

"Program ini bukannya dianjurkan untuk mencari siapa kalah siapa menang tetapi bagi menyelesaikan permasalahan semasa ummah dan telah mendapat persetujuan di peringkat atasan.

“Tiada siapa yang mahu tampil ke hadapan untuk menyelesaikan masalah maka, saya rasa bertanggungjawab dan perlu melakukan sesuatu supaya permasalahan ini dapat diselesaikan secara muzakarah, bukannya untuk saling menyalahkan," jelasnya.

Diskusi itu akan diadakan pada Rabu ini di Dewan Jabatan Pertahanan Awam, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Shahidan menyampaikan sumbangan limau mandarin kepada kira-kira 300 masyarakat Tionghua yang kurang bernasib baik di kawasan Dewan Undangan Indera Kayangan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2016 di Dewan Bukit Kaya, Taman Bukit Kaya di Kangar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS