Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Datuk Harun Din telah dilantik menjadi Pengerusi Kluster Dakwah di bawah Majlis Perunding Islam (MPI) tajaan kerajaan dan secara tidak langsung berada dalam kelolaan Yayasan Dakwah.

Ia akan menjadi modal tambahan kempen oleh Umno kepada rakyat dan seterusnya boleh mendakwa "tengok betapa prihatin dan hebat nya Umno untuk menaikkan syiar Islam".

Manakala bagi Datuk Husam Musa bekas Naib Presiden PAS yang kalah teruk pula menyatakan dengan begitu kuat bahawa perlantikan Datuk Harun Din adalah "Satu penghinaan yang dasyat kepada PAS" kerana ia secara tidak langsung menjadikan PAS sebagai alat di bawah kerajaan PM Najib Razak yang kini dikritik hebat oleh berbagai pihak mengenai isu 1MDB dan RM2.6 bilion.

Ini pandangan Datuk Husam Musa yang semenangnya masih lagi marah kepada PAS kerana ditolak sebagai Naib Presiden PAS dengan undi yang rendah pula serta kehilangan cita-cita untuk menjawat jawatan TMB atau MB.

Kekecewaannya dapat kita kongsi bersama. Pendek kata tiada apa yang betul lagi mengenai perjuangan PAS termasuk semasa beliau menjadi Exco Kerajaan Kelantan dan Naib Presiden PAS. Dahulu saya diserang apabila menegur kerajaan Kelantan mengenai isu balak, tanah dan lain-lain.

Apakah ada kena mengena perlantikan Datuk Harun Din dengan kepimpinan PM Najib Razak? Pada saya tidak ada kena mengena langsung. Masalah PM Najib Razak dan kerajaan kepimpinannya yang dikritik hebat oleh rakyat adalah satu hal yang berlainan.

Sebagai ulamak dan seorang Da'i, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk berdakwah dan memberi sumbangan fikiran dan peranan untuk kebaikan Islam.

Inilah amalan yang dikatakan Islam dan politik tidak boleh dipisahkan. Apakah DAP atau Anwar bersih 100 peratus yang menyebabkan Datuk Husam Musa menyokong dan bersekongkol serta berceramah atas satu pentas.

Kemenangan moral buat PAS

Saya belum pernah lihat lagi Datuk Harun Din berceramah membela PM Datuk Seri Najib Razak mengenai isu 1MDB dan RM2.6 bilion. Anwar sudah dihukum bersalah oleh mahkamah tapi Datuk Husam Musa membela Anwar dengan lantang.

Alasannya Anwar dizalimi. Itu kata Datuk Husam Musa. Cuma saya percaya Datuk Harun Din mempunyai sifat dan keperibadian yang tidak double standard atau hipokrit. Seorang ulamak sememangnya tenang dan istiqamah.

Pada saya perlantikan Datuk Harun Din walaupun kecil dan bukan bertaraf Menteri adalah satu kemenangan moral yang besar pada PAS dan bukan setakat satu penghormatan pada PAS seperti kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Mat, Timbalan Presiden PAS.

Kini Umno tidak boleh lagi memperlekehkan PAS. Sekarang ini pun kedengaran ada yang mahu Umno berganding bahu dengan PAS atas berbagai alasan. Yang mudah dijual ialah perpaduan ummah demi kekuatan Melayu dan Islam.

Apa pun yang jelas Umno yang sedang sakit amat memerkukan PAS. Inilah hakikatnya. PAS pula jika tunjuk mahal atau bersikap jumud tentu tidak dilihat parti yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam. PAS telah sedar apabila berpisah dengan DAP. PAS akhirnya tidak menjual prinsip perjuangan Islamnya seperti mempertahankan hukum hudud yang diperjuangkan PAS berpuluh tahun lamanya. Berjaya atau tidak soal lain. Tapi tetap tegas dengan prinsipnya.

Jangan berkawan dengan pencuri

Pada PRU12 2008 saya bertanding atas simbol PAS. PAS bermurah hati memberi laluan pada saya. Saya amat berterima kasih. Tapi saya berpisah kerana PAS selepas itu kerana tahaluf siyasinya dilihat hanyalah untuk menjadi kuda tunggangan DAP dan Anwar. Saya kritik dan akhir berpisah. Pendirian saya akhirnya betul. Sekarang PAS berpisah dengan DAP dan saya amatlah gembira.

PAS mestilah menunjukan sikap proaktif dengan sesama Islam. Soal ada pihak salah, tidak betul atau tidak serius dengan Islam, itu soal lain. Orang beriman jika berada di mana sahaja atau di gelangang maksiat atau minum atau makan semeja dengan puak rasuah, jika orang beriman berkenaan tidak ikut lakukan perkara buruk yang sama, malah menegur dan menasihat orang yang bersifat buruk meninggalkan perbuatan buruk, maka inilah tindakan dan peranan yg betul. Jangan berkawan dengan pencuri dan akhirnya turut menjadi pencuri.

Rumusan saya, dengan berpisahnya PAS dan DAP, mengambilkira keresahan umat melayu Islam terkini dengan berbagai isu, jika PAS berhemah dalam perjuangan politiknya, saya yakin PAS akan menjadi parti alternatif yang akan mendapat sokongan majoriti umat Melayu Islam dalam PRU ke 14 nanti. Atau jika ada lain-lain alternatif, sama-sama kita tunggu dan lihat.


Datuk Ibrahim Ali adalah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) dan bekas ahli Parlimen Pasir MAS.

Lihat Komen
ADS