Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Premis makanan letak tanda 'tiada babi' perlu diambil tindakan
Diterbitkan:  Feb 14, 2016 7:14 PM
Dikemaskini: 11:18 AM

Tindakan perlu diambil terhadap premis makanan yang mengelirukan umat Islam dengan mempamerkan tanda "tiada babi" seolah-olah makanan yang disediakan di premis tersebut berstatus halal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata hanya premis makanan yang mempamer sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh dikunjungi oleh pengguna beragama Islam.

"Pengusaha makanan yang meletakkan tanda tiada babi di premis mereka tidak mencerminkan apa yang dimaksudkan dengan halal," katanya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas pengusaha premis makanan yang mengelirukan masyarakat Islam dengan meletakkan tanda "tiada babi."

Justeru, adalah perlu untuk mendidik masyarakat terutama pengguna beragama Islam, untuk membezakan antara logo halal yang sah dan tanda "tiada babi," kata beliau.

"Umat Islam harus sentiasa peka kepada kehendak undang-undang syariah apabila membabitkan soal makanan. Meletakkan tanda tiada babi tidak bermakna ia adalah halal," katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melarang premis-premis makanan di negeri itu daripada meletakkan tanda "tiada babi" di premis mereka untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.

-Bernama

Lihat Komen
ADS