Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perak jatuh kerana DAP yang lompat - Hadi Awang
Diterbitkan:  Mar 20, 2016 11:52 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS bukan punca kejatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009, sebaliknya ia disebabkan tindakan wakil rakyat DAP dan PKR yang melompat parti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa blok ketiga pembangkang seolah-olah 'kosong tambah kosong sama dengan kosong'.

“PAS tidak kosong kerana melalui persefahaman kita berjaya merampas Kelantan, Kedah dan Perak.

"Jatuhnya Perak bukan kerana PAS tapi sebab DAP dan PKR. Kena ingat itu, bukan sebab PAS lompat. Tapi orang DAP yang lompat,” katanya.

Mengulas mengenai penubuhan blok ketiga PAS dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang didakwa memberi kemudahan mudah untuk BN pada PRU14, beliau menafikannya.

“Kalah menang belum tahu lagi, bagi pilihan raya dulu. Mungkin puak ini (Pas) menang, kita tidak tahu. BN kalah atau Pakatan Harapan hilang begitu saja, kita tak tahu,” katanya kepada media selepas merasmikan Ijtimak Dewan Muslimat Pas Kedah sempena Karnival Jom Bersama Pas di Kompleks Pas Kedah.

Hadi berkata Umno dan DAP menggunakan isu hukum hudud sebagai ‘senjata’ untuk menyerangnya sejak sekian lama, namun serangan itu berjaya ditepis melalui penggubalan Undang-undang Kesalahan Syariah di Kelantan.

“Kita masih mengadakan perbincangan awal dalam soal hudud sebab ia adalah isu undang-undang dan memerlukan isu kehakiman. Mesti dibetulkan konsep kehakiman terlebih dahulu.

“Sebab itu Pas mengalu-alukan titah ucapan perasmian Yang di-Pertuan Agong di Parlimen untuk menaiktaraf mahkamah syariah. Pas sudah beri penerangan sejak 1977, sudah lama,” katanya, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, penerangan itu dibuat melalui seminar dengan penglibatan semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum dikemukakan kepada undang-undang negeri.

“Sungguhpun begitu, sehingga hari ini masih belum dilaksanakan di Kelantan kerana perlu melalui proses demokrasi berparlimen,” katanya.

Lihat Komen
ADS