Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1MDB tegas tidak sembunyi sebarang perkara berkaitan siasatan

1Malaysia Development Bhd (1MDB) menegaskan bahawa ia tidak menyembunyikan sebarang perkara berkaitan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik berkenaan.

Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy berkata adalah mustahil perkara sedemikian boleh berlaku kerana 1MDB sudah melalui proses siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa tempatan mahu pun badan kawal selia asing.

"Malah, saya ingin jelaskan, berdasarkan siasatan awal oleh pihak Bank Negara Malaysia, peguam negara memutuskan tiada sebarang kesalahan (dilakukan oleh 1MDB)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama stesen radio tempatan, BFM89.9 yang berlangsung selama sejam, semalam.

Dalam program itu, Arul Kanda juga sempat berkongsi pengalamannya menangani pelbagai kritikan, kebimbangan serta kontroversi yang terpaksa beliau dan 1MDB harungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat itu juga tidak dihubungi oleh mana-mana pihak berkuasa asing melibatkan siasatan di peringkat masing-masing.

Namun, beliau mengakui pihak Switzerland ada menghubungi peguam negara berhubung siasatannya.

Ditanya jika pihaknya ternyata gagal mematuhi peraturan ditetapkan Bank Negara, Arul Kanda berkata :"Pihak bank pusat itu mempunyai kuasa untuk menuntut tindakan tertentu.

"Pada masa ini, sama ada tindakan itu boleh dipatuhi atau sebaliknya, ia bergantung kepada fakta situasi berkenaan. Kami amat menghormati sepenuhnya undang-undang serta kuasa Bank Negara untuk mengenakan sebarang tindakan yang disifatkan sebagai wajar," katanya.

Beliau berkata 1MDB sentiasa bekerjasama seboleh mungkin dengan pihak berkuasa yang relevan, dan menegaskan bahawa jika berlaku sebarang salah laku, tindakan perlu diambil mengikut undang-undang.

Ketika ditanya mengenai dakwaan aset dalam usaha sama Petrosaudi adalah tidak bernilai, Arul Kanda berkata: "Kami tidak boleh menghalang pihak-pihak daripada membuat tuduhan atau berbohong.

"Apa yang boleh kami lakukan adalah dengan mengatakan, sesiapa mempunyai sebarang fakta atau bukti, maka serahkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan".

Mengenai dana US$1.83 bilion yang diarahkan oleh Bank Negara Malaysia agar dibawa pulang, beliau menjelaskan ia telah ditukarkan dan dijadikan sebagai unit dana pada 31 Mac 2014, yang bernilai US$2.33 bilion.

Daripada jumlah itu, US$1.44 bilion ditebus dalam bentuk tunai dan digunakan untuk pembayaran pelbagai tujuan, manakala baki US$940 juta unit dana dikhaskan untuk pertukaran "hutang bagi aset" dengan International Petroleum Investment Co (IPIC) dari Abu Dhabi.

Mengenai soalan apa yang menyebabkan 1MDB terjebak dalam situasi sekarang, beliau menegaskan syarikat berkenaan berdepan dengan cabaran perniagaan dan isu itu telah dipolitikkan.

"Apabila ahli politik turut terlibat, mereka menggunakan kenyataan yang disiarkan tanpa merujuk kepada fakta, dan apabila mereka membuat tuduhan tanpa bukti... media berebut-rebut melaporkannya," katanya.

Beliau berkata cabaran terkini 1MDB adalah untuk memastikan ia boleh memberi penjelasan mengenai kedudukannya.

"Saya mengakui bahawa daripada perspektif komunikasi ia mungkin dapat dilakukan dengan lebih baik lagi," katanya.

Mengenai sejauh mana penglibatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB - dalam pelan rasionalisasi syarikat itu, Arul Kanda berkata komunikasi adalah menerusi Kementerian Kewangan sebagai pemegang saham.

Beliau berkata syarikat tersebut bekerjasama dengan satu jawatankuasa khas yang dianggotai pelbagai profesional dalam Kementerian Kewangan untuk melaksanakan pelan rasionalisasi itu, tanpa penglibatan Najib.

"Saya yakin setiap orang akan memahami bahawa 1MDB bukan satu-satunya syarikat milik kerajaan. Kami memiliki prosedur tadbir urus yang jelas, terutamanya apabila pelan rasionalisasi di laksanakan," kata Arul Kanda.

- Bernama

Lihat Komen
ADS