Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Sekali lagi berlaku insiden melibatkan salah guna kuasa dan budaya buli oleh penguat kuasa agama.

Terbaru seperti dilaporkan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah melakukan serbuan ke atas sebuah majlis makan malam dan persembahan anjuran sekumpulan transgender di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur.

Ini bukan yang pertama kali seumpamanya oleh ‘polis agama’ ini.

Kita dapat lihat bukan sahaja serbuan atas majlis persendirian dan tertutup seperti ini dilakukan tanpa adab, malah atas kediaman peribadi dengan mengintip aib peribadi orang lain giat dijalankan dengan penuh rasa ‘berpahala’.

Mungkin mereka lupa ayat al-Quran dan hadis sahih yang mengkritik keras amalan tajassus yang dilarang ini? Bahkan jelas tidak berasas!

Saya dan rakan pernah menulis berkenaan hal ini, bahkan menggesa untuk dipinda atau dimansuhkan!

Sedih sekali penguasa agama terus menerus menganggap merekalah berkuasa yang berhak melakukan apa sahaja untuk terus menerus menindas kelompok minoriti dalam negara ini.

Tidak kiralah minoriti agama, mazhab, fahaman, gender, seksualiti dan sebagainya, Islam dan bukan Islam semuanya bakal menjadi mangsa selagi kuasa dimiliki disalah guna, seterusnya dihalakan senjata ampuh baginya ini kepada sesiapa sahaja atas nama suci agama.

Maqasid syariah tertinggi

Banyak sudah direkod kes melibatkan kekasaran dan penghinaan! Natijah ini semua demi mengharapkan orang lebih dekat dengan agama?

Mengharapkan orang makin sayang agamawan? Yang pasti tiada lagi wajah rahman dan rahim Islam yang cuba dipersembahkan di sini.

Negara ini seakan diperintah oleh IS dan Taliban dalam sistem kuku besi teokrasi. Hak-hak fundamental bagi setiap warganegara dinafikan.

Dek kerakusan mengawal setiap gerak-geri dan tindakan masyarakat dengan retorik ‘membela Islam’ atas ‘kesedaran agama’, ayat dan nas Islam qat’ie tsubut serta dilalah -nya berkaitan adab dan muamalah yang baik sesama insan ditinggalkan.

Maqasid syariah tertinggi agama seperti diulas pakar usul fekah; al-Alwani dan al-Qaradhawi gagal difahami, sekali gus dibakulsampahkan.

Tiada belas ihsan dan kemanusiaan. Bahkan diperlakukan seperti Islam mengamalkan kasta.

Usahkan undang-undang negara, ajaran agama yang teras pun gagal dipatuhi walaupun didakwa diimani.

Tidaklah transgender ini meminta bulan dan bintang melainkan dilayan dengan penuh keadilan, kemanusiaan, kasih sayang tanpa diskriminasi seperti insan yang menghirup udara sama, memijak bumi sama dan bertutur bahasa sama yang lain.

Perbincangan progesif

Ini tulisan Facebook seorang pejuang hak komuniti transgender pertama tanah air yang baru sahaja mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa International Women of Courage, Nisha Ayub:

Enough is enough! This religious enforcers has deliberately targeted the community for so many years. They threat us as if we don’t have any rights. They don’t have SOP when they arrest or questioned people. They act like bullies just because they are given the power to do so.

“They often violates ones privacy in so many ways but yet they forget that we have our rights to under the Federal Constitution of Malaysia which is the supreme law of Malaysia ”.

I’m really worried of the girls now. We need to stop such arbitrary arrest towards transgender women. This is totally against our Federal Constitution of Malaysia. I hope the girls are all safe. Please Malaysian help us to fight for our rights”

Boleh juga hayati mesej yang cuba disampaikan oleh mantan mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkenaan isu dan layanan terhadap transeksual dalam rakaman wawancara You Tube di sini (kredit: Lensa Srikandi).

Di Malaysia jarang, bahkan hampir tiada agamawan setaraf mufti, secara terbuka serta aktif membincangkan dengan progresif isu-isu gender dan seksualiti dalam kerangka agama selari dengan perkembangan semasa.

Di samping itu mahir ilmu usul fekah ( islamic jurisprudence ) kontemporasi dan teks klasik agama.

Saya sangat optimis jika diskusi keagamaan dalam Islam dapat diperbaharui dengan ilmu moden psikologi, biologi dan mampu dikuasai oleh penuntut jurusan agama, ustaz, alim ulama, sekali gus mengharmonikannya.

Malaysia versi apa?

Ia akan jadikan elemen prejudis dan salah faham dalam isu seksualiti dan identiti gender ini dapat diatasi.

Sasaran untuk atasi masalah pokok bermula di sini; didikan. Yakni ilmu berkaitan perkara baru ini yang tidak diajar dan tidak kedapatan dalam kitab-kitab fekah klasik/lama melainkan sikit dan terhad sumbernya.

Ulama tidak kira jantina mesti cerdas, kreatif dan ktitis dengan ‘kemas kini’ kajian terbaru. Kita sedia maklum syarat untuk berijithad serta berfatwa oleh seorang mujtahid adalah dengan memahami isu yang ingin diulas sebelum mengeluarkan fatwa.

Ilmu dalam bab SOGIE ( sexual orientation, gender indentity and expression ), khususnya GI (identiti gender) amat luas untuk diteroka dan harus diselami untuk memahami lebih lanjut komuniti minoriti seperti transgender/transeksual ( transman/transwoman ).

Ulama bukan semesti tahu segala-galanya. Rujukan lanjut kepada pakar berkaitan mesti diteruskan secara proaktif.

Fatwa itu sifatnya berubah mengikut masa atau zaman, keadaan dan tempat. Ulama tempatan harus terbuka dalam hal sepertimana dipraktik para mujadid/reformis dulu dan kini.

Saya tinggalkan dengan persoalan; apakah perasaan kita apabila orang persoal dan jadikan bahan jenaka sesuatu yang luar kawalan kita?

Jika kita mahu kita difahami dan diberi hak tetapi kenapa tidak sebaliknya? Malaysia versi apa yang cuba kita bentuk sebenarnya?

Lihat Komen
ADS