Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluar lokap, Rafizi cabar IGP tanding p'raya
Diterbitkan:  Apr 8, 2016 2:35 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Isu sama ada pemimpin PKR Rafizi Ramli diarah meletakkan tangan di belakang ketika dalam tahanan polis terus berpanjangan.

Selepas sahaja dibebaskan dengan ikat jamin, setiausaha agung PKR itu terus mencabar Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar bertanding dengannya jika mahu bermain politik.

“Kalau IGP nak main politik mari bertanding di Pandan,” tulis anggota parlimen Pandan di Twitter.

Tegas naib presiden PKR itu lagi, tindakan beliau meletakkan tangan di belakang seolah-olah seperti digari adalah sebahagian standard operasi piawai (SOP).

Malah, Rafizi berkata arahan tersebut dibuat pegawai terlibat di hadapan peguamnya Saiful Izham Ramli.

“Arahan untuk letak tangan di belakang adalah budi bicara pegawai (polis) dan ia dibuat di hadapan peguam saya,” tulisnya.

Justeru, Rafizi berkata beliau akan berbincang dengan peguam sama ada mahu mengambil tindakan saman terhadap Khalid atau tidak.

Sebelum ini beberapa keping gambar beredar di media sosial yang menuduh Rafizi berlakon seperti digari ketika diiring polis.

Saiful mendakwa Rafizi diminta meletakkan tangan di belakang sebagai sebahagian SOP bagi membataskan pergerakan.

Bercakap kepada Malaysiakini , Khalid menyifatkan dakwaan itu sebagai “cerita dongeng”.

Rafizi dibebaskan dengan ikat jamin hari ini selepas didakwa bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan dokumen sulit kerajaan.

Lihat Komen
ADS