Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO puji tindakan profesional JAWI serbu majlis transgender
Diterbitkan:  Apr 10, 2016 4:00 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) harus dipuji atas tindakan profesional ketika menyerbu majlis makan malam komuniti transgender di sebuah hotel, Ahad lepas.

Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) dan Peguam Prihatin untuk Keadilan (CLJ) dalam kenyataan bersama hari ini berkata penguat kuasa agama itu hanya menjalankan tugas mereka mengikut parameter perundangan seperti yang tertakluk di bawah undang-undang.

"Selepas menonton rakaman video kekecohan berikutan serbuan itu yang berdurasi 3 minit 04 saat, kami memuji pegawai JAWI yang bertindak profesional dan berhemah.

"Ini dilakukan walaupun berdepan ugutan dan gangguan daripada mereka yang hadir dalam majlis itu, terutama peguam yang kelihatan mengherdik dan begitu sombong terhadap mereka," tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Eksekutif CENTHRA, Azril Mohd Amin dan Koordinator Kempen CLJ, Aidil Khalid.

Dalam pada itu, CENTHRA dan CLJ ingin mengingatkan semua peguam bela dan peguam cara supaya memelihara martabat profesion itu pada setiap masa termasuk ketika mewakili pelanggan atau menjalankan tugas mempertahankan mereka yang didakwa bersalah.

Mereka juga perlu menjalankan tugas dengan jujur, berhemah dan saksama, serta mengelak daripada perbuatan menghina atau menyakitkan hati, seperti yang digariskan dalam Profesion Undang-undang (Amalan dan Etika) 1978.

Dalam kenyataan itu, Azril dan Aidil juga berkata semua pihak perlu faham dan menghargai tugas dan tanggungjawab yang dipikul pihak berkuasa atas perkara yang dianggap berada dalam kawasan tertutup.

"Apabila wujud aduan yang boleh dipercayai atas salah laku, walaupun kesalahan itu dilakukan di kawasan tertutup, adalah menjadi tanggungjawab menghalang kesalahan itu daripada terus berlaku.

"Walaupun prinsip asas tajassus contohnya mengintip perbuatan seseorang yang dilakukan di tempat tersembunyi, adalah dilarang Islam, kami percaya kes ini berada di luar tajassus kerana ia diadakan di kawasan awam, walaupun dalam kawasan.

"Mengakui dosa yang dilakukan dalam kawasan tertutup hanya diketahui Tuhan dan pelakunya, negeri dan komuniti secara keseluruhan, turut bertanggungjawab mahukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kejahatan.

"Dalam perkara ini, kita diingat dengan kes Mahkamah Rayuan mengenai The Herald - mengisytiharkan kepentingan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, bahawa ia mengenakan obligasi positif kepada Persekutuan untuk melindungi, mempertahankan, menggalakkan dan juga memberi kesan menerusi tindakan kerajaan yang sesuai, kepada perundangan Islam dan memudahkan serta menggalakkan orang ramai menjalankan kehidupan mereka mengikut peraturan Islam, dalam kehidupan rohani dan harian," kata mereka.

CENTHRA dan CLJ juga meminta rakyat Malaysia memberikan komitmen untuk membenarkan petugas penguat kuasa menjalankan tugas tanpa ugutan dan gangguan.

Beberapa portal berita melaporkan JAWI menyerbu majlis makan malam transgender yang díanggap Pertandingan Ratu Cantik Transgender pada 3 April lepas.

-Bernama

Lihat Komen
ADS