Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Abduh: Ya untuk Kejara, tak buat AES
Diterbitkan:  Apr 20, 2016 10:00 PM
Dikemaskini: 2:08 PM

Pemuda PAS menyokong kerajaan melaksanakan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) bagi mencegah kemalangan jalan raya.

Ketua Pemudanya Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perkara itu perlu dilakukan memandangkan jumlah kemalangan mencecah sehingga 489,606 kes dengan 6,706 kematian pada 2015 dan sangat membimbangkan.

Katanya, walaupun angka kematian lebih rendah berbanding jangkaan asal namun menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), menjelang 2020 angka tersebut akan meningkat kepada 10,716 kematian.

Bagaimanapun, pihaknya tidak bersetuju dengan pelaksanaan semula Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) kerana tindakan itu didakwa akan “menjerat” berbanding untuk mendidik pengguna.

"Pemuda PAS bersetuju dengan keputusan Kerajaan antaranya untuk melaksanakan Kejara dan membuat penilaian ke atas keselamatan jalan raya dan penyiasatan kemalangan di Lebih Raya Pantai Timur 2 (LPT2) seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai kelmarin.

"Sebagai tambahan, Pemuda PAS mencadangkan agar kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi lain mewujudkan mekanisme yang dapat mengurangkan kesesakan di atas jalan raya.

"Dua aspek perlu diberikan tumpuan iaitu mengurangkan jumlah kenderaan aktif di atas jalan raya dan mengurangkan kesesakan kenderaan di atas jalan raya pada satu-satu masa khususnya pada waktu puncak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sistem Kejara merupakan pemberian mata demerit yang akan diberikan apabila notis saman diselesaikan dengan cara penalti dengan membayar kompaun dan denda di mahkamah.

Pemandu yang mendapat 20 mata atau lebih untuk kesalahan pertama hanya akan diberi amaran dan lebihan mata akan dibawa ke hadapan.

Untuk kesalahan kali kedua dengan 20 mata atau lebih, pesalah akan digantung lesen memandu tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih daripada 12 bulan.

Kursus pemulihan juga ditawarkan bagi mengurangkan tempoh penggantungan dan lebihan mata dihapuskan.

Bagi kesalahan kali ketiga dan mendapat 20 mata atau lebih, lesen memandu akan digantung tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih 12 bulan.

Lesen memandu juga akan dibatalkan sekiranya ia telah digantung sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun.

Mana-mana individu yang tidak melakukan sebarang kesalahan demerit dalam tempoh setahun, 50 peratus daripada mata yang terkumpul akan dikurangkan.

Mata demerit juga akan dihapuskan sekiranya tidak melakukan kesalahan demerit dalam masa dua tahun berturut-turut.

Lihat Komen
ADS