Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu 'Datuk Seri' MB: PM akan mengadap Sultan T'ganu
Diterbitkan:  Apr 25, 2016 12:46 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman dengan istana Terengganu.

Menurut Bernama , Najib berkata dirinya akan mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat.

"Saya dijadual menghadap Sultan Terengganu dalam masa terdekat. Selepas itu, baru saya akan keluarkan kenyataan," katanya kepada pemberita diKuching.

Beliau juga berkata pentadbiran kerajaan negeri Terengganu masih berjalan seperti biasa.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika diminta mengulas isu itu selepas hadir dan memberi sokongan kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, calon BN DUN Tanjung Datu di Kuching hari ini bersempena penamaan calon pilihan raya Sarawak ke-11.

Hubungan antara istana dan Ahmad Razif menimbulkan persoalan selepas beliau diperkenalkan dalam dua majlis rasmi tanpa gelaran darjah kebesaran 'Datuk Seri'.

Portal AMANAH, Malaysia Dateline Sabtu lalu memetik sumber yang mendakwa Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat lalu telah menarik balik gelaran kepada Ahmad Razif hingga mencetuskan khabar angin mengenai pertukaran menteri besar.

Menurut laporan Harian Metro pula, Razif turut hadir semasa pelancaran majlis Persidangan Wakaf Senusantara 2016 di Hotel Primula di Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Sultan Mizan.

Razif, bersama-sama dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Osman Muda, bagaimanapun dilaporkan meninggalkan majlis sebelum wartawan mendapatkan komen mengenai perkara itu.

Satu kejadian yang sama dilaporkan berlaku pada majlis Umno Dungun malam Sabtu.

Berita Harian pula memetik sumber sebagai berkata bahawa gelaran itu dibatalkan melalui perintah secara lisan.

Sesetengah penganalisis menjangkakan kedudukan BN Terengganu dalam bahaya kerana ia hanya mempunyai majoriti kerusi yang tipis.

BN mempunyai 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi - 14 daripada PAS dan seorang daripada PKR.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, awal bulan lalu memfailkan undi tidak percaya terhadap Razif, mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran menteri besar.

Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Razif mengambil alih jawatan menteri besar daripada Ahmad pada Mei 2014.

Lihat Komen
ADS