Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Calon PKR selar BN halau media
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 1:28 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Abdul Raafidin Majidi menggesa calon BN kawasan itu supaya mengamalkan politik matang dan menghormati kebebasan media sepanjang kempen pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

Abdul Raafidin berkata, beliau kesal dengan tindakan Dr Annuar Rapaee yang bertindak kasar menghalau wartawan Malaysiakini daripada programnya malam tadi.

Sikap itu dilihatnya sama dengan Umno dan BN di semenanjung dan menyifatkan sama seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa takut berdepan media.

"Saya menyeru Dr Annuar supaya mengamalkan politik matang dan menghormati kebebasan media sepanjang kempen ini.

"Ini sekali lagi membuktikan bahawa kenyataan calon PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) yang cuba menonjolkan bahawa PBB adalah berbeza dengan Umno merupakan satu pembohongan apabila kedua-dua parti yang meluluskan rang undang-undang GST di Parlimen dan membisu terhadap skandal 1MDB ini pada hakikatnya adalah sama.

"Tidak ada perbezaan di antara Dr Annuar dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak di mana kedua-dua ahli politik ini takut berhadapan dengan media," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Malam tadi wartawan Malaysiakini dihalau dan dimarahi oleh Annuar selepas memperkenalkan diri daripada portal berita ini.

Kejadian di Taman Permai, Sibu itu berlaku selepas Annuar bertemu dan menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 200 orang.

Penyandang DUN Nangka itu kemudian mengarahkan wartawan tersebut meninggalkan kawasan berkenaan kerana dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan wartawan itu menulis tentang isu Kampung Dato Lama.

"Saya tak bercakap dengan awak. Saya tak bercakap dengan awak. Awak pergi dari sini!" katanya.

Sementara itu, Abdul Raafidin juga mencabar Annuar hadir dalam sesi debat dengannya berhubung isu "Siapa lebih layak menjadi ketua menteri" Ahad di kawasan DUN Nangka.

"Buktikanlah kebenaran melalui hujah tetapi bukan melarang orang yang berlainan pendapat daripada berhujah.

“Saya menanti-nantikan kehadiran Dr Annuar Rapaee pada Ahad ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS