Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lantikan gabenor baru hadiah Hari Pekerja buat kakitangan bank
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 2:42 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Persekutuan Kesatuan Sekerja Pekerja-pekerja dalam Industri Perbankan dan Kewangan (FEBFI) berikrar memberi sokongan dan kerjasama penuh kepada gabenor baharu Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim.

"Kami gembira atas pelantikan beliau dan menganggapnya sebagai hadiah Hari Pekerja dalam sektor perbankan dan kewangan," kata Setiausaha Agungnya J. Solomon kepada Bernama di sini.

"Kami yakin bahawa di bawah kepimpinan beliau, sistem kewangan dan perbankan negara akan terus meningkat dan setanding dengan negara terbaik di dunia," katanya.

Muhammad menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor baharu BNM berkuat kuasa 1 Mei.

Solomon juga menyuarakan keyakinan beliau bahawa di bawah gabenor baharu itu, keberkesanan BNM sebagai agensi pengawal sistem kewangan negara yang diperakui di peringkat antarabangsa, tidak sahaja diteruskan, malah terus dipertingkat.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat keputusan yang tepat, yang diterima secara meluas di dalam dan di luar negara.

Solomon, yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), merakamkan penghargaan ikhlas kepada Zeti atas perkhidmatan cemerlang beliau menerajui Bank Negara sejak 16 tahun lepas.

"Zeti tidak sahaja memperkukuh dan meningkatkan sistem perbankan negara, malah mengharumkan nama negara apabila dipilih sebagai Gabenor Bank Pusat terbaik dunia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS