Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bumbung 18 rumah di Padang Terap diterbang angin
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 3:26 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Bumbung 18 buah rumah di lima buah kampung di Padang Terap diterbangkan angin petang semalam.

Ia melibatkan sembilan buah rumah di Kampung Padang Nyior, Kampung Pondok Pak Teh (empat buah), Kampung Pisang (dua), Kampung Padang Terap Kiri (dua) dan Kampung Lubok Labi (sebuah).

Seorang mangsa Abdul Khalid Saad, 55, berkata dalam kejadian 6.30 petang itu, beliau melihat angin kencang menghala ke arah rumahnya sebelum menerbangkan hampir 60 peratus bumbung rumahnya.

Operator kilang ini berkata kejadian berlaku kira-kira seminit yang disusuli hujan rintik-rintik yang menyebabkan barangan bahagian atas rumahnya basah.

"Syukur kerana saya dan isteri selamat tetapi kami agak trauma," katanya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata beliau akan menutup bahagian bumbung yang diterbangkan angin dengan kain kanvas sebelum melakukan kerja baik pulih.

Sementara itu Awang Kechik Abdullah, 50, berkata bumbung rumahnya terangkat sebanyak tiga kali sebelum diterbangkan angin kencang.

"Saya bergegas untuk dapatkan tali bagi mengikat bumbung rumah saya tetapi bumbung diterbangkan angin dalam sekelip mata," katanya dan menambah ribut melanda kampungnya beberapa kali sebelum ini.

ADUN Kuala Nerang, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata bantuan awal kepada penduduk telah disalurkan.

Beliau berkata penduduk perlu membuat laporan berhubung kerosakan rumah mereka bagi memudahkan bantuan susulan diberikan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS