Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Janjikan rakyat S'wak bebas bayar hutang 1MDB - DAP
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 3:54 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Ahli parlimen DAP, Lim Lip Eng mencabar Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem 'membebaskan' rakyat Sarawak dari membayar cukai pendapatan dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sekiranya BN menang pada 7 Mei ini.

Cabaran itu dibuat berdasarkan kenyataan Adenan sebelum ini bahawa rakyat Sarawak tidak terkesan dengan skandal kewangan 1MDB, kata Lim dalam kenyataan media, hari ini.

"Bukankah cukai-cukai ini dikutip kerajaan persekutuan dan tidak melibatkan pendapatan negeri Sarawak.

"Janjikan juga bahawa rakyat Sarawak tidak akan dibebani nanti apabila 1MDB gagal membayar hutang-hutangnya," jelasnya yang baru pulang berkempen di Murum.

1MDB diisytiharkan ingkar Selasa lalu, selepas gagal membayar faedah AS$50.3 juta untuk bon berbilion-bilion dolar terbitannya yang dijamin oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC), milik Abu Dhabi.

Ini disahkan oleh 1MDB yang menyalahkan IPIC kerana keengganan untuk menunaikan "obligasinya untuk membayar faedah dan juga bayaran pokok untuk, antara lain, nota AS$1.75 bilion pada kadar tetap 5.75 peratus yang matang pada 2022, yang dikeluarkan oleh 1MDB Energy (Langat) Limited ".

Akhbar Straits Times Singapura berkata pengisytiharan ingkar itu "mendedahkan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan hutang lebih AS$6.481 bilion" kepada Abu Dhabi.

Mengulas lawatannya ke Murum, kawasan terpencil di Sarawak, Lim berkata kunjungan itu membuka matanya mengenai keadaan beberapa rumah panjang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

Penduduk mengunakan penjana kuasa elektrik peribadi atau ‘generator’ untuk bekalan elektrik yang hanya dapat digunakan pada malam hari dan bergantung kepada air hujan dan air sungai untuk keperluan air dalam kehidupan seharian.

Walaupun begitu, Lim masih dapat menggunakan internet 4G di beberapa kawasan di Murum.

Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan rasa terkejut apabila membaca laporan Adenan tidak tahu bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor menyediakan perkhidmatan bas percuma sejak bertahun lamanya.

"Saya hanya dapat menyimpulkan bahawa Adenan sama ada benar-benar tidak membaca atau beliau memilih untuk tidak membaca atau sengaja berlagak bodoh.

"Takkanlah Adenan tidak tahu yang kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor yang tidak dikuasai BN telah lama turut menyediakan khidmat air percuma, serta memberi bantuan kewangan tunai kepada pelbagai golongan masyarakat yang memerlukan," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS