Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah: 102 pemandu teksi bantah Uber jadi pencelah
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 3:55 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Sebanyak 102 pemandu teksi sekitar Lembah Klang membantah permohonan Uber untuk menjadi pencelah dalam kes saman difailkan pemandu teksi terbabit terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

SPAD didakwa gagal mengambil tindakan proaktif dalam mengharamkan aktiviti dan operasi perkhidmatan teksi dalam talian Uber, Grabcar dan Blacklane yang didakwa menjalankan operasi secara tidak sah.

Perkara itu dimaklumkan peguam R Kengadharan yang mewakili kesemua pemandu teksi itu yang berumur antara 25 hingga 73 tahun, kepada pemberita selepas kes itu disebut di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Lukman Hakim Abu Bakar Sidek.

Peguam itu berkata pemandu teksi dan SPAD membantah permohonan itu atas alasan aktiviti Uber adalah tidak sah mengikut undang-undang dan berpendapat Uber tidak mempunyai hak untuk mencelah.

"Aktiviti mereka tidak diluluskan oleh SPAD sepertimana pemandu teksi bermeter. Mereka tidak mematuhi Akta Pengangkutan Jalan dan tidak memenuhi syarat Akta SPAD 2010. SPAD juga senada," katanya.

Kengadharan berkata permohonan Uber itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin pada 31 Mei ini.

Pada 30 Disember 2015, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Zailani Isausuludin, 51, bersama-sama 101 pemandu teksi, menyaman SPAD antaranya memohon perintah deklarasi supaya SPAD mengharamkan operasi Uber, Grabcar dan Blacklane, yang merupakan perkhidmatan teksi dalam talian kerana ia tidak tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Mereka memohon perintah injunksi agar SPAD tidak mengesahkan aktiviti dan operasi ketiga-tiga perkhidmatan teksi dalam talian itu selain mengeluarkan satu garis panduan dan pekeliling tertakluk kepada persetujuan terma-terma bagi mengharamkan operasi dan aktiviti perkhidmatan Uber, Grabcar dan Blacklane.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kesemua pemandu teksi itu mendakwa operasi yang dijalankan Uber, Grabcar dan Blacklane telah memberi kesan buruk terhadap industri perkhidmatan teksi tempatan kerana kadar tambang perkhidmatan teksi dalam talian itu jauh lebih rendah dari tambang teksi bermeter.

Mereka mendakwa operasi untuk membanteras 'kereta sapu' haram yang dijalankan SPAD serta Jabatan Pengangkutan Jalan dilihat tidak berkesan, selagi aplikasi 'penyedia tempahan' oleh Uber, Grabcar dan Blacklane ini tidak disekat dan akan mengkucar-kacirkan industri perkhidmatan teksi tempatan.

Plantif juga mendakwa SPAD gagal dan cuai mengambil tindakan proaktif untuk mengharamkan ketiga-tiga perkhidmatan dalam talian itu, sehingga segala hak dan kepentingan plaintif dipinggirkan oleh SPAD.

- Bernama

Lihat Komen
ADS