Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu GLC: Pinjaman luar negara TM masih terkawal
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 6:50 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Pendedahan kepada kerugian pertukaran wang asing boleh diurus dan Telekom Malaysia Bhd (TM) hanya akan melindung nilai pinjaman mata wang asingnya sekiranya terdapat peluang.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk Bazlan Osman berkata ini kerana jumlah pinjaman asing yang tidak dilindung nilai agak kecil, pada 13 peratus.

"Pinjaman berkaitan dengan bon jangka panjang matang pada 2025, di mana US$200 juta tidak dilindung nilai.

"Kami akan meneliti sebarang kemungkinan lindung nilai kerana terdapat kos iaitu caj bank," katanya.

Bazlan berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa syarikat,di Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, berkata Packet One Networks (M) Sdn Bhd (P1), tidak lama lagi akan dikenali sebagai Webe, sedang memuktamadkan butiran produk, termasuk pakej dan bil yang akan dilancarkan pada pertengahan tahun.

TM menguasai 72.9 peratus kepentingan dalam P1, dan penyertaan ke dalam TM akan melengkapkan tawaran perkhidmatan penuh pembekal telekomunikasi ini.

Mengenai sama ada TM akan mengkaji semula harga produk untuk bersaing dengan pesaing, Zamzamzairani berkata, syarikat itu kini mengutamakan nilai daripada harga.

"Kami sedar harga adalah elemen penting untuk memacu pasaran dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ini, tetapi di TM, kami ingin memberikan nilai terbaik kepada pelanggan kami," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS