Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harga Maggi, Milo, Nescafe tak akan naik - Nestle
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 7:00 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Nestle (Malaysia) Bhd tidak akan menaikkan harga produknya buat masa ini walaupun harga komoditi dan bahan mentah dijangka meningkat tahun ini disebabkan kemerosotan ringgit.

"Nestle tidak menaikkan harga produknya sejak tahun lepas. Jika boleh, kami akan mengekalkan harga semasa," kata Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di Kuala Lumpur, hari ini.

Syed Anwar ditanya sama ada syarikat itu merancang menaikkan harga produk ketika harga komoditi dan bahan mentah dijangka meningkat tahun ini disebabkan kejatuhan ringgit.

Sementara itu, Pengarah Urusan, Alois Hofbauer berkata, harga bahan mentah dan pembungkusan serta nilai ringgit adalah dua faktor utama yang akan memberi kesan kepada kos input syarikat, yang seterusnya memberi kesan kepada harga produk.

"Kami akan cuba menahan (harga produk) selama mungkin dan cuba memberi pengguna nilai terbaik kerana pengguna Malaysia kini menerima tekanan kenaikan harga semua jenis barang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hofbauer berkata, syarikat itu akan memperuntukkan kira-kira RM130 juta untuk perbelanjaan modal tahun ini, terutama peningkatan kapasiti, inovasi produk serta modernisasi, menaik taraf teknologi serta automasi untuk kilangnya di Kuching dan Batu Tiga, Shah Alam.

Setakat ini, syarikat mempunyai lapan kilang di Malaysia.

"Kami telah melabur kira-kira RM600 juta (RM200 juta pada 2015) dalam tempoh dua tahun lalu dan RM1.5 bilion dalam tempoh tujuh tahun lepas untuk membina kemudahan pembuatan dan pengedaran," katanya.

Syarikat itu berharap untuk memperoleh penguasaan pasaran yang lebih tinggi tahun ini daripada 15.8 peratus yang dicatat tahun lalu, meningkat daripada 14.5 peratus pada 2014, tambahnya.

Mengenai segmen eskport, beliau berkata, eksport meningkat 12 peratus pada suku pertama berakhir 31 Mac 2016, terutama dipacu peningkatan permintaan dari Filipina dan Indonesia.

"Kami berharap momentum itu akan berterusan dan permintaan daripada 50 syarikat bersekutu di seluruh dunia akan kekal kukuh," katanya dengan menambah, eksport menyumbang 20 peratus kepada perniagaan syarikat tahun lepas.

"Bagaimanapun, kami akan kekal sebagai syarikat yang berpusatkan Malaysia," tambah Syed Anwar.

Keuntungan sebelum cukai Nestle Malaysia pada suku pertama berakhir 31 Mac 2016 meningkat kepada RM275.86 juta berbanding RM244.25 juta setahun lalu manakala pendapatan naik kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.27 bilion sebelum ini.

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, keuntungan sebelum cukai syarikat itu meningkat kepada RM727.71 juta berbanding RM701.19 juta pada 2014 manakala pendapatan naik kepada RM4.84 bilion berbanding RM4.81 bilion sebelum ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS