Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerugian kebakaran hutan simpan di Sabah cecah RM100 juta
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 7:15 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Seluas 7,000 hektar Hutan Simpan di Sabah musnah ketika musim kemarau pada bulan lepas, dengan nilai kerugian berjumlah RM100 juta dari segi kehilangan kayu balak.

Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan berkata secara keseluruhannya sebanyak 18,000 hutan di negeri ini musnah terbakar ketika cuaca panas disebabkan Fenomena El Nino.

"Kerugian dari segi kehilangan kayu balak dalam Hutan Simpan yang terbakar mencecah RM100 juta," katanya dalam sidang media selepas merasmikan projek pengurusan hutan mampan (SFM) Timimbang-Botition di Beluran hari ini.

Menurutnya kebanyakan punca kebakaran hutan itu disebabkan pembakaran sengaja termasuk untuk aktiviti pertanian.

Katanya tidak mungkin hutan di negara ini terbakar sendiri berbanding hutan di negara lain seperti Australia dan Amerika Syarikat.

"Kebakaran hutan di negara itu perlu untuk memulihkan semula hutan tetapi Hutan Hujan di negara ini tidak memerlukan kaedah itu untuk pemulihan hutan," katanya.

Sam berkata usaha merawat atau memulihkan hutan yang terbakar itu dilakukan setiap tahun menerusi program pemulihan hutan yang dilaksanakan oleh kerajaan bersama syarikat pemegang lesen Unit Pengurusan Hutan.

Katanya menerusi program itu, seluas 34,000 hektar hutan di negeri ini dirawat dan dipulihkan menerusi penanaman semula anak pokok.

Menurutnya daripada jumlah itu, 20,000 hektar hutan membabitkan program rawatan, 10,000 penanaman semula anak pokok secara ladang dan 4,000 hektar penanaman anak pokok di Hutan Asli.

- Bernama

Lihat Komen
ADS