Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Belum ada keputusan isytihar Bkt Merah kawasan bencana'
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 6:45 AM
Dikemaskini: Apr 29, 2016 3:15 AM

Kerajaan belum memutuskan tentang mengisytiharkan Bukit Merah, Perak, yang terjejas ekoran cuaca panas dan kering akibat El-Nino, sebagai kawasan bencana kerana perlu meneliti aspek perundangan dan kewangan berkaitan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan Persekutuan sudah menerima permohonan daripada kerajaan negeri Perak berhubung pengisytiharan kawasan Bukit Merah sebagai kawasan bencana.

Beliau berkata ia boleh memberi implikasi mendalam jika kawasan itu diumumkan sebagai bencana atau dalam keadaan darurat seperti implikasi kewangan terutamanya dari segi bayaran pampasan kepada petani.

"Tetapi, kerajaan Persekutuan tetap prihatin dan memikirkan beberapa langkah yang harus dilakukan terlebih dahulu bagi mengatasi masalah berkenaan dan bukannya hanya sekadar pengisytiharan," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa tertinggi Pengurusan Bencana Pusat di Putrajaya semalam.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu turut membincangkan langkah dan kaedah yang dicadangkan bagi mengatasi masalah di Bukit Merah termasuk pemasangan paip air ke tasik, mendalamkan tasik dan meninggikan kawasan tambatan di kawasan tasik berkenaan.

Mesyuarat itu juga membincangkan permohonan kerajaan negeri Perak untuk segera menyelesaikan masalah di Kerian yang menghadapi kesulitan kekurangan air yang kritikal untuk kegunaan harian dan pertanian, katanya.

"Ini (cadangan-cadangan untuk atasi masalah) akan dibincangkan secara halus oleh Jawatankuasa Teknikal selepas ini... kita akan mengambil tindakan segera," katanya.

Menurutnya jawatankuasa teknikal itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu turut dimaklumkan bahawa tujuh daripada 41 empangan di seluruh negara berada pada tahap kritikal dengan jumlah simpanan air yang membimbangkan.

Empangan berkenaan ialah Gemencheh, Negeri Sembilan; Timah Tasoh, Perlis; Bukit Merah,Perak dan empat kawasan di Johor iaitu Lebam, Congok, Layang dan Labong.

"Beberapa langkah segera telah dilakukan termasuk bekalan air ke kawasan pengairan mesti dibantu segera oleh pam-pam bergerak dari sumber air seperti sungai, tasik, kolam dan air bawah tanah," katanya.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata maklumat mengenai aras empangan daripada sistem amaran awal Jabatan Meteorologi dan Agensi Remote Sensing akan dikongsi oleh kesemua jabatan dan agensi yang terlibat dalam menangani masalah berkenaan.

Selain itu, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan untuk penghantaran bekalan air melalui tangki bergerak termasuk di Chini dan Pekan di Pahang serta Dengkil, Selangor.

Mengenai operasi pembenihan awan, beliau berkata aktiviti itu tetap diteruskan walaupun berlaku beberapa kegagalan penghasilan hujan akibat pergerakan awan di kawasan bukan tadahan hujan.

Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai penubuhan Sistem Imbangan Air Negara (NAWABS) sebagai langkah jangka panjang untuk menambah baik sistem permintaan bekalan air negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS