Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Suspek ceroboh kuil di Perak akan dibawa ke mahkamah
Diterbitkan:  Apr 29, 2016 12:26 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Suspek yang menceroboh dan memecahkan beberapa patung di sebuah kuil petang Ahad lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh hari ini di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Pihak polis telah selesai menjalankan siasatan terhadap kes pecah patung dewa dewi di Kuil Sri Muniswarer yang berlaku pada 24 April jam 5 petang.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Perundangan Negeri pada 28 April yang bersetuju suspek, Fathi Munzir Nadzri, 29 tahun dituduh di Mahkamah Majistrest Ipoh," kata Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abd Rahim Hanafi dalam satu kenyataan media.

Suspek kini menjalani penilaian status mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

Bagaimanapun, suspek yang bekerja sebagai doktor pelatih di sebuah hospital kerajaan tidak diketahui mengalami sebarang gangguan mental, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr S Jeyaindran, seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail.

Sebelum ini, pelbagai pihak dan NGO, termasuk MIC menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap cara polis mengendalikan kes itu, terutamanya kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Isnin lalu yang berkata, suspek adalah pesakit mental yang tidak stabil.

Beliau juga menafikan bahawa suspek dikaitkan dengan organisasi keganasan dan berkata lelaki itu bertindak seorang diri serta menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

Membidas Khalid, MIC berkata, polis sepatut membawa suspek ke mahkamah dan membiarkan hakim yang membuat keputusan jika suspek itu memerlukan bantuan perubatan.

Suspek itu ditangkap apabila keretanya berlanggar ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian selepas memecahkan beberapa patung di sebuah kuil di Jalan Hospital, Ipoh.

Lihat Komen
ADS