Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis akan patuh arahan tangkap mualaf larikan anak

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan mematuhi arahan supaya K Pathmanathan @ Mohd Ridhuan Abdullah ditangkap selepas gagal menyerahkan anaknya kepada bidang kuasa mahkamah.

Ridhuan dan bekas isterinya M Indira Gandhi sedang berebut hak penjagaan anak mereka. Kes itu kini sudah sampai ke Mahkamah Persekutuan.

Khalid berkata, Mahkamah Persekutuan mempunyai kuasa tertinggi dalam sistem kehakiman negara dan beliau akan melaksanakan keputusan itu.

“Sebelum ini memang kita ambil sikap berdiri di tengah-tengah kerana perintah dua mahkamah yang sama taraf tapi mahkamah persekutuan adalah mahkamah tertinggi dalam sistem kehakiman di negara kita.

“Polis akan mematuhi arahan Mahkamah Persekutuan dan kita akan melaksanakan waran tangkap orang yang dikehendaki,” katanya kepada pemberita di luar Masjid Darul Ibadah, Kuching.

Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan Khalid menangkap Ridhuan kerana gagal membawa Prasana Diksa, kepada bidang kuasa mahkamah.

Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai panel menulis penghakiman sebulat suara itu.

Beliau nyata berang dengan Ridhuan yang ingkar dan enggan membawa anak berkenaan ke mahkamah.

Katanya, ia kelakuan yang tidak diterima kerana menjadikan undang-undang dipandang lekeh.

Prasana Diksa berusia 11 bulan apabila Ridhuan melarikannya. Kini Indira, seorang guru tadika, sudah lapan tahun gagal berjumpa dengan anaknya.

Lihat Komen
ADS